Thursday, July 3, 2008

Kontrak Sosial

KONTRAK SOSIAL
Tun Dr. Mahathir Mohamad

1. Banyak yang diperkatakan berkenaan Kontrak Sosial di Malaysia2. Mungkin ada baiknya kita cuba faham akan konsep ini sebelum kita berbahas dengan lebih lanjut.

3. Jika kita kaji asal usul kontrak sosial kita akan dapati bahawa ianya adalah satu konsep bangsa Eropah yang diketengahkan para falsafah Eropah. Yang termasyhur adalah Socrates, ahli falsafah berbangsa Greek yang telah dipenjarakan dan disabitkan hukuman bunuh.

4. Beliau enggan lari dan berhijrah ke bandar Greek yang lain kerana beliau percaya bahawa ia terikat dengan kontrak sosial untuk hidup berlandaskan undang-undang Athens di mana dianya dilahir dan dibesarkan dan mendapat manfaat daripada undang-undang tersebut.

5. Sebelum adanya kontrak sosial ini, manusia dikatakan hidup di dalam Keadaan Semulajadi, dimana tidak ada undang-undang untuk mentadbir perhubungan antara individu dalam masyarakat primitif yang kecil. Yang ada hanyalah undang-undang "belantara" dimana yang kuat selalunya benar.

6. Apabila masyarakat berkembang terdapat keperluan undang-undang bagi mentadbir perilaku sesuatu masyarakat. Setiap warganegara komited terhadap perlunya hormat dan akur pada undang-undang. Pemahaman ini merupakan kontrak sosial walaupun tidak terdapat apa-apa pengakuan untuk hormat dan akur terhadap undang-undang secara lisan mahupun bertulis. Ini pandangan Socrates. Para falsafah selepasnya memperluaskan konsep ini tetapi tidak pernah ada keperluan untuk kontrak secara formal.

7. Bangsa Greek dikatakan mengamalkan bentuk Kerajaan demokratik. Tetapi rakyat yang behak menyertai Kerajaan dihadkan kepada lelaki dewasa yang waras. Wanita, kanak-kanak, hamba abdi, tahanan, penjenayah dan warga asing tidak diberi hak sebagai warganegara dan tidak boleh memain peranan dalam kerajaan.

8. Sebahagian besar tamadun Eropah berasas kepada tamadun Greek. Tetapi apabila masyarakat berkembang besar adalah mustahil untuk mereka membuat penyertaan secara langsung didalam Kerajaan.

9. Pada satu peringkat, demokrasi ditolak dan sistem feudal diterima di mana raja memerintah dengan penuh hak ketuhanan. Ini merupakan bentuk Kerajaan yang terdapat di Asia. Bagaimanapun, ketaatan rakyat kepada Raja juga merupaka satu bentuk kontrak sosial.

10. Kemudian feudalisme digantikan dengan sistem republik iaitu mengembalikan kepada rakyat kuasa Kerajaan.

11. Pelbagai bentuk republik telah wujud, setiap satunya dengan undang-undang dan peraturannya tersendiri berkenaan kerajaan Negara tersebut. Walau apa pun bentuknya, undang-undang dan peraturan-peraturan, setiap warganegara terikat dengannya. Tidak ada kontrak bertulis tetapi bagi orang asing yang menerima hak warganegara, pada lazimnya akan ada perakuan formal untuk menturuti sistem dan undang-undang Kerajaan Negara itu.

12. Selepas menjadi warganegara, anak mereka akan secara automatik dianggap sebagai warganegara dan sebagai warganegara mereka tidak perlu bersumpah kesetiaan kepada Negara berkenaan secara formal. Hak ini adalah melalui jus sanguinis, iaitu melalui pertalian darah.

13. Kewarganegaraan juga boleh diperolehi dengan cara dilahirkan didalam Negara itu atau jus soli. Ini boleh disediakan oleh undang-undang Negara itu.

14. Samada kewarganegaraan diperolehi melalui jus sanguinis atau jus soli, kontrak sosial masih diguna pakai walaupun tiada pengakuan sumpah secara formal.

15. Yang jelas, kontrak sosial adalah kefahaman secara umum seseorang warganegara untuk menghormati dan akur kepada undang-undang dan institusi sesebuah negara. Kontrak Sosial ini tidak terhad kepada mengurus perhubungannya dengan negara, Kerajaan dan institusi, tetapi juga perhubungannya dengan rakan senegaranya yang lain.

16. Saya akan menulis berkenaan kontrak sosial dan kesannya terhadap Malaysia selepas menerima komen terhadap rencana saya yang ini.

No comments: