Tuesday, March 8, 2016

SANDAKAN

Ketika awal 1870 an, pantai timur Sabah berada di bawah pemerintahan Sultan Sulu yang turut memerintah kawasan yang kini merupakan Filipina selatan. Pendudukan Eropah yang terawal di kawasan ini ditubuhkan oleh William Clarke Cowie , seorang penyeludup senjata api berbangsa Scotland dari Glasgow yang mendapat izin daripada Sultan untuk mendirikan tapak perdagangan yang kecil. Cowie menamakan penempatannya sebagai "Sandakan", iaitu istilah bahasa Sulu bagi "tanah yang digadai", namun kemudiannya tempat ini dikenali sebagai "Kampong German" kerana kehadiran sebilangan besar orang Jerman yang bertapak di sini.

Penempatan ini merupakan sebahagian daripada pajakan yang diperoleh dari konsul Austria Hungray Baron von Overbeck daripada Sultan Sulu pada tahun 1878. Setelah pajakan itu dibeli oleh rakan von Overbeck yang berbangsa British, Alfred Dent, Kampong German teranap pada 15 Jun 1879. Residen British yang baru, William B. Pryer, memutuskan untuk tidak membina semula kampung itu, sebaliknya berpindah ke Buli Sim Sim pada 21 Jun 1879. Beliau menamakan penempatan baru beliau itu "Elopura", yang bermaksud Bandar yang Indah. Beberapa tahun kemudian, namanya ditukar kembali ke "Sandakan". Nama Elopura masih memaksudkan salah sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri di Sandakan. Populasi penduduk Sandakan terdiri daripada masyarakat Bajau, Melayu, Kadazan Dusun, Orang Sungai, Bugis, Suluk dan lain-lain.

Pada tahun 1883, pusat pentadbiran Syarikat Borneo Utara Inggeris dipindahkan dari Kudat ke Sandakan. Pada pertengahan 1930-an, eksport kayu balak Sandakan mencapai angka rekod 180,000 meter padu, menjadikannya pelabuhan pengeksport kayu balak tropika yang terbesar di dunia. Pada zaman kemuncak lambungan hasil balak, Sandakan menjadi tumpuan jutawan terbesar di seluruh dunia.

Pendudukan Jepun di Sandakan ketika Perang Dunia II bermula pada 19 Januari 1942 dan bertahan sehingga sebuah briged Divisyen Ke 9 Australia membebaskannya pada 19 Oktober 1945. Pentadbiran Jepun memulihkan nama Elopura untuk bandar ini. Antara kezaliman yang berlaku ketika Perang Dunia II ialah Kawat Kematian Sandakan, apabila askar Jepun hendak memindahkan sekitar 6,000 orang tawanan perang di Sandakan 260 km (160 batu) ke pekan Ranau di pedalaman Sabah.

Tawanan-tawanan yang berjaya menempuh perjalanan ke Ranau hidup-hidup diasakkan ke dalam pondok-pondok yang kotor; kebanyakan mereka ini mati sama ada akibat penyakit disenteri atau dibunuh oleh pengawal penjara. Setelah tamatnya perang, Sandakan ranap keseluruhannya, sebahagiannya akibat pengeboman Kuasa Berikat dan sebahagian lagi oleh pihak Jepun. Oleh itu, setelah Borneo Utara menjadi Tanah Jajahan British pada tahun 1946, ibu negerinya dipindahkan ke Jesselton (kini dikenali sebagai Kota Kinabalu ).

Sandakan masih merupakan pelabuhan kedua terpenting di Sabah, selepas Kota Kinabalu. Pelabuhan ini penting untuk eksport kayu balak, kelapa sawit, tembakau, koko, kopi, gentian manila, dan sagu. Sandakan juga adalah antara bandar-bandar yang paling sibuk di Malaysia Timur.







No comments: