Sejarah
Tongod Sejak 1880
Berdasarkan
sejarah awal penduduk Pulau Borneo tergolong dalam kelompok Austronesia, iaitu
daripada kelompok Negrito dan Austroloid. Kelompok ini telah meninggalkan Tanah
Melayu bersama-sama penduduk Austronesia yang lain selepas zaman air batu,
iaitu kira-kira 2,500 - 5,000 tahun yang lalu. Mereka memulakan penghidupan
baru dan berhijrah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain disamping
mengamalkan pertanian pindah (shifting cultivation) dalam menyara hidup
seharian mereka. Amalan ini telah dilakukan untuk beberapa lama sehinggalah
mereka sampai di Utara Pulau Borneo. Perubahan hidup masyarakat ketika itu
telah bermula dengan petempatan secara kekal dan bertumpu di tebing sebuah
tasek yang dikelilingi oleh pokok-pokok Ara di ulu Sungai Labuk yang dikenali
dengan nama Nunukragang. Tidak dapat dipastikan samada Kampung Nunukragang yang
terletak tidak jauh dari Jambatan Tampias ketika ini adalah kampung yang
dimaksudkan dalam sejarah penghijrahan awal ini. Salah satu suku etnik yang
terdapat disini adalah suku kaum Orang Sungai.
Dari segi catatan sejarah, asal usul mengenai Orang Sungai adalah bermula pada
1881, apabila residen pertama Sandakan iaitu Sir William Pryer menjalankan
ekspedisi menyusur Sungai Kinabatangan sehingga ke Kampung Imbok yang masih
wujud pada ketika ini. Sewaktu ekspedisi tersebut, rombongan beliau telah
terserempak dengan sekumpulan masyarakat yang sudah bertamadun dengan kebolehan
mendirikan petempatan di tebing sungai serta pandai bercucuk tanam yang
dicirikan dengan imej berambut panjang dan mempunyai kulit kemerah-merahan.
Disebabkan masalah komunikasi ketika itu, beliau tidak mengetahui asal-usul
masyarakat tersebut dan untuk memudahkan, beliau telah menamakan kumpulan
masyarakat ini dengan panggilan the river people.Selepas peristiwa
tersebut dan semasa pemerintahan The British North Borneo Chartered Company
(BNBCC) panggilan ini telah dialihbahasakan kepada Orang Sungai dan telah kekal
digunakan bukan saja terhadap masyarakat yang mendiami Sungai Kinabatangan
tetapi juga masyarakat yang menghuni sungai-sungai yang lain juga turut digelar
sedemikian.
Masyarakat yang tinggal di pinggir sungai yang dirujuk sebagai Orang Sungai
terus berkembang dan petempatan mereka sering tertumpu di tebing-tebing sungai
utama seperti Sungai Bengkoka, Sungai Labuk, Sungai Sugut, Sungai Paitan,
Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Pemilihan tempat ini boleh dikaitkan
dengan cara hidup masyarakat ini yang gemar bercucuk tanam dan sentiasa mencari
kawasan yang subur terutama kawasan lembangan sungai.Sistem Kepercayaan dan
Adat Resam. Orang
Sungai menganut fahaman yang berbeza-beza, ada yang beragama Islam, Kristian
dan ada yang masih mengamalkan fahaman Animisma. Mereka yang menganut agama
Islam pada asasnya adalah terdiri daripada mereka yang berkahwin campur dengan
peniaga Suluk.
Nama Asal Tongod
Pada
awalnya EN.KANGI (
tidak diketahui siapa dia ) telah menamakan tempat ini sebagai “TONGODO”,iaitu bersempena dengan nama
poko-pokok kayu yang banyak terdapat ditempat ini ketika itu.Tetapi pada hari
ini akibat peredaran masa,arus sungai deras bila musim hujan(banjir) dan juga
kebanyakkan generasi sekarang tidak lagi mengenali pokok tersebut maka pokok
ini sudah jarang ditemui.
Nama TONGODO tersebut tidak kekal lama,ini kerana apabila DATO RABBANA(Saudagar berbangsa
Suluk)telah sampai di tempat ini beliau telah meminta agar nama tersebut
ditukar kepada “TONGOD” yang
membawa erti “TEMPAT” dalam
bahasa Suluk.Sememangnya pedagang –pedagang Suluk pada ketika itu sangat
dihormati,ini kerana dikatakan bahawa mereka ini adalah wakil daripada Kerajaan
Sulu datang berniaga sambil meninjau kawasan berkenaan.Seterusnya pangkal
nama Tongod ditambah dengan perkataan“KUALA”(Alung-Bahasa
Sungai)maka jadilah nama tempat ini “KUALA TONGOD”(ALUNG TONGOD-Bahasa Sungai).Ini adalah disebabkan
oleh kedudukan tempat ini sendiri terletak di Muara (Kuala Sungai Tongod) yang
mengalir ke Sungai Kianabatangan.
Penemuan Tongod
Menurut
catatan yang ditulis oleh En.Roslan Lampakas (Bekas ADO Pejabat Daerah Kecil
Tongod)dalam buku aturcara Perayaan Pesta Kaamatan 1990 berpusat di
Tongod.Orang yang mula-mula sekali datang di tempat ini ialah “AKI
RANDAM”,beliau ini keturunan Suku Makiang berasal dari Kg.Bangkulat.
Keterangan ini disokong oleh En.Abd.Kadir Bin Abdullah,menurut beliau nama lain
atau sebelum memeluk agama islam AKI RANDAM ini bernama “AKI SALAP”.
Menurut cerita pada zaman dahulu satu wabak penyakit yang dipanggil
“PANGKOT”telah melanda beberapa buah kampung di sebelah bawah termasuklah
Kg.Bangkulat.Wabak tersebut telah banyak mengorbankan nyawa ramai penduduk.Disamping
mencari penempatan baru faktor yang mendorong penghijrahan beberapa penduduk
ialah penyakit tersebut.Diceritakan juga bahawa pada zaman tersebut belum ada
penduduk yang mempunyai agama,mereka semua pada ketika itu adalah “Animisme”.
Seorang pedagang Islam daripada Brunei bernama “IMAM KAHAR”telah sampai di
Kg.Bangkulat tersebut.Banyak keajaiban yang dimiliki oleh pedagang tersebut
,walaubagaimanapun AKI SALAP ini sebagai orang yang paling gagah pada
ketika itu tidak mempercayai pedagang berkenaan.Digambarkan bahawa pada ketika
itu AKI SALAP ini adalah seorang BAANI yang paling disegani bukan sahaja oleh
Sukunya tetapi juga oleh pihak msuh “TINGGALAN”.Pada satu masa ada acara
menangkap ikan beramai-ramai “MENUBA” menggunakan racun akar kayu “TUBA” di kawasan
tersebut.Imam Kahar telah menggaris Sungai Kinabatangan ini dengan
tongkatnya.Apa yang menghairankan “semua ikan sebelah bawah hidup cergas,tetapi
ikan sebelah ulu semuanya mati”sedangkan racun dibuang sebelah ulu sungai.
Keajaiban seterusnya yang ditunjukkan oleh’Imam Kahar’ ialah sewaktu wabak
“Pangkot”melanda kawasan tersebut sesiapa yang mendapat suntikan beliau akan
sembuh.Dikatakan bahawa “Aki Salap”ini tidak lut oleh apa-apa senjata
tajam,tetapi dengan jarum suntikan ‘Imam Kahar’dengan senang sahaja melukai
kulit seterusnaya isi beliau.Maka dengan itulah beliau ini “Aki Salap” telah
memeluk agama islam seterusnya berguru dengan Imam tersebut.Apabila ketua
mereka telah memeluk agama islam maka sebilangan besar penduduk telah mengikut
jejak langkah beliau ini.
Setelah sampai di tempat ini beliau
“AKI RANDAM” telah bertemu dengan “EN.KANGI”yang berasal daripada
Kg.Talibu.Menurut orang ini tiada orang yang berani pergi ke tempat ini kerana
takut dengan “Seekor Harimau/Mondou” yang tinggal dalam lubang batu di bukit
“OPOS MATO”(boleh dilihat dari Kuala Sungai Tongod).Sebagai seorang yang gagah
berani (Gumbilaan) beliau telah mengarahkan beberapa orang mencari batang
pisang monyet dan damar seterusnaya dikumpulkan dilubang batu tersebut.Setelah
itu damar tersebut telah dibakar,akhirnya Harimau/Mondou tersebut telah mati
hangus.Selepas itu barulah ramai orang yang telah berhijrah seterusnya membuat
penempatan di tempat ini.
No comments:
Post a Comment