Friday, July 1, 2016

Sandakan seawal 1879.....


Elopura atau Sandakan, ditubuhkan pada 21 Jun 1879 oleh seorang Inggeris bernama William B. Pryer yang juga merupakan Residen pertama Residensi Pantai Timur Sabah, semasa pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Sandakan diisytihar sebagai ibu negeri Borneo Utara yang kedua pada tahun 1884.Syarikat tertua di Sandakan ditubuhkan pada 1882 dan sekolah St. Mary merupakan sekolah tertua di Sabah yang ditubuhkan pada tahun 1887.

Pada tahun 1883 sebuah surat khabar bulanan, British North Borneo Herald diterbitkan tanpa terhenti sehingga kependudukan Jepun pada tahun 1942. Sementara itu perkhidmatan telefon telah beroperasi di Sandakan seawall tahun 1896. Komunikasi telegraf di antara Sandakan dengan London di United Kingdom telah ditubuhkan dengan aktifnya pada 8 April 1897.


Bandar Sandakan telah siap dibangunkan pada tahun 1930 dan menjadi tumpuan perdangan antarabangsa. Jalan raya telah diturap buat kali pertama pada 1899dan ketera bermotor diperkenalkan di Sandakan seawall tahun 1912. Bekalan elektrik diperkenalkan pada tahun 1909. Pada 1923, Sandakan telah dipasangkan dengan pertukaran telefon automatic antarabangsa, yang terawal di Sabah dan jauh lebih awal daripada Hong Kong dan Shanghai. Kelab Glof pula ditubuhkan pada tahun 1917.

Pada tahun 1883 pusat pentadbiran Syarikat Borneo Utara Inggeris dipindahkan dari Kudat ke Sandakan. Pada pertengahan 1930-an, eksport kayu balak Sandakan mencapai angka rekod 180,000 meter padu, menjadikannya pelabuhan pengeksport kayu balak tropika yang terbesar di dunia. Pada zaman kemuncak lambungan hasil balak, Sandakan menjadi tumpuan jutawan terbesar di seluruh dunia.

Pendudukan Jepun di Sandakan ketika Perang Dunia kedua bermula pada 19 Januari 1942 dan bertahan sehingga sebuah briged Divisyen Ke-9 Australia membebaskannya pada 19 Oktober 1945. Pentadbiran Jepun memulihkan nama Elopura untuk bandar ini. Antara kezaliman yang berlaku ketika Perang Dunia Kedua ialah Kawat Kematian Sandakan, apabila askar Jepun hendak memindahkan sekitar 6,000 orang tawanan perang di Sandakan 260 km (160 batu) ke pecan Ranau di pedalaman Sabah. Tawanan-tawanan yang berjaya menempuh perjalanan ke Ranau hidup-hidup diasakkan ke dalam pondok-pondok yang kotor; kebanyakan mereka ini mati sama ada akibat penyakit disentri atau dibunuh oleh pengawal penjara. Setelah tamatnya perang, Sandakan ranap keseluruhannya, sebahagiannya akibat pengeboman Kuasa Berikat dan sebahagian lagi oleh pihak Jepun. Oleh itu, setelah Borneo Utara menjadi Tanah Jajahan British pada tahun 1946, ibu negerinya dipindahkan ke Jesselton (kini dikenali sebagai Kota Kinabalu).



No comments: