Saturday, August 9, 2008

Rayuan Personaliti TV3 Ditolak


Rayuan personaliti TV3 ditolak
Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 8 Ogos - Personaliti TV3, Maria Tunku Sabri gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk menguatkuasakan satu penyelesaian perjanjian agar seorang ahli perniagaan membayarnya pampasan RM5.5 juta selepas lelaki itu gagal menunaikan janji untuk menikahinya.
Hos program Jalan-Jalan Cari Makan itu memfailkan tindakan undangundang terhadap Datuk Wan Johani Wan Hussin, 55, pada 2004 untuk mendapat perintah mahkamah bagi menguatkuasakan penyelesaian perjanjian yang dibuat oleh kedua-dua mereka.
Bagaimanapun, defendan menyatakan, perjanjian tersebut tidak sah kerana Maria, 38, tidak ada kapasiti untuk membuatnya kerana dia sudah berkahwin pada masa itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk James Foong ketika menolak rayuannya dengan kos turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menggugurkan samannya terhadap Wan Johani.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdull Hamid Embong dan Hakim Datuk Sulaiman Daud dalam penghakimannya berpuas hati bahawa tuntutan Maria perlu ditolak kerana tidak wajar bagi seorang wanita yang telah bernikah, mengahwini lelaki lain.
''Seksyen 14(1), Akta UndangUndang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 jelas menyatakan demikian," ujar Hakim Foong ketika membacakan penghakiman tersebut.
Menurut beliau, mahkamah mendapati, penyelesaian perjanjian itu dengan sendirinya terbatal seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 24(a) Akta Kontrak kerana pihak yang membuatnya bukan entiti yang sah di sisi undang-undang.
''Panel ini sebulat suara berpendapat, saman itu harus ditolak atas alasan yang cukup jelas kerana penyelesaian perjanjian tersebut tidak sah dan terbatal," ujarnya.
Pada 22 Februari tahun lalu, Penolong Pendaftar Kanan menggugurkan saman tersebut selepas berpuas hati bahawa kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana kedua-dua pihak beragama Islam dan isu yang dibangkitkan melibatkan perkahwinan.
Peguam Karpal Singh yang mewakili Maria memberitahu, pihaknya akan memfailkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan. Wan Johani diwakili peguam Anthony Gomez.

No comments: