Friday, August 15, 2008

Pelajar UiTM Protes Di Permatang Pauh

Pelajar UiTM protes di Permatang Pauh
Aug 15, 08 12:10pm


Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Permatang Pauh mengadakan perhimpunan aman memprotes cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar universiti itu dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.Kumpulan penuntut itu yang turut memakai pakaian serba hitam, diketuai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu, Mohd Faizal Zainol di Padang UiTM Permatang Pauh sejak jam 9 pagi selama sejam sambil menyanyikan lagu rasmi universiti serta lagu patriotik seperti 'Anak Kecil Bermain Api'. Menurut Bernama, mereka turut membawa pelbagai sepanduk bertulis 'Hidup Melayu', 'UiTM Milik Melayu' dan 'Jangan Jual Bangsa Melayu' sambil melaung-laungkan kemarahan terhadap Abdul Khalid. Perhimpunan itu berakhir selepas Mohd Faizal menyerahkan memorandum yang ditandatangani mereka kepada Timbalan Pengarah Bahagian Akademik UiTM itu Dr Mohd Abdullah Hemdi. Mohd Abdullah memberitahu pemberita bahawa memorandum itu akan diserahkan kepada Naib Canselor UiTM Prof Datuk Seri Ibrahim Abu Shah untuk dikumpulkan sebelum diserahkan kepada Menteri Besar Selangor.Sementara itu Mohd Faizal berkata pelajar UiTM kesal dengan tindakan Abdul Khalid itu kerana sanggup mengemukakan syor yang dianggapnya menjual maruah bangsa di tanah air sendiri. "Kalau Abdul Khalid tidak tarik balik kenyataan beliau, semua warga UiTM akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Shah Alam."Kami berharap isu kuota bukan Bumiputera untuk masuk ke UiTM sebagai pelajar tidak perlu dibincangkan lagi. Kami kesal Abdul Khalid membelakangkan hak kaum sendiri," katanya. Semalam penuntut cawangan UiTM di enam kampus iaitu di Seri Iskandar (Perak), Arau (Perlis), Bandar Jengka (Pahang), Melaka, Sungai Petani (Kedah) dan Kuala Terengganu (Terengganu) mengadakan perhimpunan bantahan di seluruh negara. Penuntut di kampus induk di Shah Alam, Selangor dan cawangan di Machang, Kelantan mengadakan perhimpunan yang sama pada Rabu lalu.

No comments: