Sunday, August 10, 2008

Pas Bantah Forum Memeluk Islam

Pas bantah forum Memeluk Islam
KUALA LUMPUR 7 Ogos -

Pas membantah keras keputusan Majlis Peguam untuk meneruskan penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam kerana jelas ia boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum di negara ini.Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, usaha Majlis Peguam itu yang hanya bersumberkan kepada fahaman sekular sudah tentu akan terseleweng daripada pemahaman sebenar mengenai Islam.Keadaan tersebut jika dibiarkan, katanya, akan merugikan negara dan oleh itu demi kestabilan hubungan agama serta kaum, Pas menggesa pihak Majlis Peguam membatalkan forum berkenaan.''Forum ini jika diteruskan mampu mencetuskan syak wasangka yang akhirnya boleh mengakibatkan berlaku ketegangan hubungan antara penganut Islam dan penganut pelbagai agama dalam negara.''Sekiranya ini yang berlaku, ia sudah pasti akan menjejaskan keharmonian negara dan akan merugikan semua pihak,'' kata beliau dalam kenyataannya, di sini hari ini.Beliau mengulas keputusan Majlis Peguam untuk meneruskan Forum Memeluk Islam pada 9 Ogos ini meskipun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran kepada majlis itu supaya tidak 'bermain api'.Setiausahanya, Lim Chee Wee berkata, forum tersebut tidak sensitif kerana ia hanya bertujuan untuk mengkaji kesan yang dihadapi pasangan dan anak mereka apabila salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam.Rentetan daripada kenyataan Syed Hamid itu, pelbagai pihak mendesak Majlis Peguam supaya membatalkan penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam kerana ia dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.Abdul Hadi berkata, Pas mengakui mengenai hak kebebasan bersuara iaitu memberikan jaminan kepada semua pihak untuk berdialog dan berbincang berhubung isu-isu kepentingan umum.''Namun, ia tidak boleh menyentuh isu-isu berkaitan dengan hak dan kepentingan Islam. Agama Islam adalah sesuatu yang mutlak yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan dipelihara oleh perlembagaan negeri-negeri,'' katanya.Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Islam adalah agama yang menjanjikan kebaikan buat semua pihak dan sehubungan itu, sebarang perbincangan mengenainya perlu melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan kuasa.Kata Abdul Hadi, Islam berdiri berasaskan kepada sumber-sumbernya sendiri dan setiap perbincangan wajib berteraskan sumber ilmu serta hukum yang telah ditetapkan.''Atas asas ini juga, Pas berpandangan inisiatif Majlis Peguam yang jelas bersumberkan fahaman sekular hanya akan menyebabkan penyelewengan pemahaman terhadap Islam.''Yang jelas, ia boleh mencetuskan konflik dan akhirnya ketegangan yang tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak,'' katanya.

No comments: