Sunday, April 10, 2016

Asal Usul Nama Kinabatangan



Daerah Kinabatangan terletak di kawasan pantai timur Sabah , negeri di bawah bayu. Dengan keluasan lebih  600 ribu hektar, ia merupakan daerah terbesar di Malaysia menyamai keluasan negeri Pahang di Semenanjung Malaysia. Kedudukannya yang strategik di laluan perdagangan laut timur dan barat silam menjadikannya singgahan kerajaan-kerajaan awal di tanah besar asia.

Adalah dipercayai bahawa Laksamana Cheng Ho pernah menyusuri sungai Kinabatangan pada awal kurun ke 15, untuk memperolehi sarang burung yang mudah ditemui di Kinabatangan. Mengikut sumber “Buku Sejarah Tanah Air’ pula  Kinabatangan pernah dikunjungi kerabat Maharaja China pada awal kurun ke 16. Beberapa tempat seperti Sukau, Bilit dan Mumiang dikatakan berasal dari Bahasa Cina.

Legenda Kinabatangan menyebut tentang sekumpulan orang Cina yang menyusuri kuala sungai menggunakan batang-batang kayu balak. Kosa kata ‘Cina’dan ‘Batang’ ini telah mencetuskan sebutan ‘Cinabatangan’ yang merupakan nama asal daerah ini. Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah menggantikan sebutan ini kepada Kinabatangan.
Sungai Kinabatangan yang mengalir sepanjang 560 km merupakan sungai yang terpanjang di Sabah. Sungai ini menjadi sumber rezeki utama suku kaum Sungai, suku kaum majoriti di daerah ini. Mereka turut mengenali Kinabatangan sebagai ’Tawoi Marato’ yang bermaksud ‘sungai yang panjang’ dalam bahasa Idahan. Kaum Dusun yang tinggal di Ulu Kinabatangan mengenali Sungai Kinabatangan sebagai ’Sungai Millian’.

Daerah Kinabatangan telah menyaksikan pelbagai perubahan dalam sejarah kewujudannya. Menurut sumber tertentu, Kuala Kinabatangan mula berkembang selepas diduduki oleh kaum Sungai, Suluk dan Simunol sebelum 1881. Syarikat Berpiagam Borneo Utara secara rasminya menjadikan Kinabatangan sebagai daerah pentadbiran pada 1905. Pusat pentadbiran pada ketika itu adalah di Lamag. Pemindahan pusat  pentadbiran ini ke Bukit Garam dan akhirnya ke pekan Kota Kinabatangan berlaku ekoran banjir yang sering melanda.

Pendudukan tentera Jepun sekitar tahun 1943 hingga 1945 menyaksikan perjuangan penentangan Sheikh Mutanna, seorang pedagang Arab yang bermastautin di Kuala Tongod. Beliau yang berketurunan Arab telah mengahwini wanita suku kaum Sungai .
Pekan Kota Kinabatangan yang merupakan pusat pentadbiran daerah ini terletak di kawasan strategik berhampiran jalan raya utama yang menghubungi pantai timur dan barat Sabah. Pada masa ini, Kota Kinabatangan masih bergantung kepada daerah Sandakan dan Lahad Datu untuk keperluan sosio ekonomi dan sebagainya. Daerah Kinabatangan, kini dihuni oleh lebih 80 000 orang penduduk.

No comments: