Pemimpin apabila membiarkan rakyat yang baik dalam kesusahan, sementara golongan yang tamak lagi mengampu ‘penuh kantong’ dan
 kekenyangan lagi mewah, maka negara akan rosak. Penentangan terhadap 
pemimpin akan berlaku dari rakyat bawahan yang tertindas dan golongan 
tamak yang mula ‘besar kepala’.
Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu’awiyah r.a. kepada ‘Amr bin al-As 
yang sedang berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. 
Kata Mu’awiyah:  
“Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah 
untuk menunaikannya.  Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan 
berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan 
orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang 
baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang”
(Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).
Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang pemimpin
 akan jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk 
berpaut. Maka, pemimpin yang diampu akan menjadi raja telanjang 
berseorangan, sementara yang mengampu akan menyembunyikan diri di 
belakang atau melarikan diri dan meletak jawatan. Maka berhati-hati wahai pemimpin dengan para pengampu anda. Seakan 
perangai syaitan seperti yang disebut dalam al-Quran:
(maksudnya) (Sikap
 kaum munafik) itu samalah seperti syaitan ketika dia berkata kepada 
manusia: “kufurlah kamu!” setelah orang itu kufur, berkatalah syaitan 
kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya
 aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!“
(Surah al-Hasyr: 16).
Dalam ayat lain Allah berfirman:
(maksudnya) Dan (ingatlah) 
ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah 
itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan
 berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia Yang 
dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu”. 
Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) 
masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang 
sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat 
apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada 
Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya”
(Surah al-Anfal: 48).
 

 
 
No comments:
Post a Comment