Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 20 November
2015M/ 8 Safar 1437H JAWI
Sempatkah Kita Bertaubat
Sempatkah Kita Bertaubat
Sering kali kita mendengar kes-kes kematian mengejut berlaku di seluruh dunia.
Ada yang menemui ajal ketika sedang bersukan, ketika sedang memandu, juga
ketika dalam tidur. Kematian sentiasa mengejar dan membayangi kita.
Manusia sering leka dan lalai. Manusia juga sering terperangkap dalam
kesilapan, dosa dan kemungkaran yang dilakukannya sendiri. Manusia selalu
terjerat dalam langkahnya yang sumbang. Itulah manusia.
Sebagai manusia biasa, agak sukar bagi kita mengelakkan diri daripada melakukan
kesilapan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Dalam erti kata yang
lain, tiada seorang pun dari kalangan kita yang tidak melakukan dosa. Perbezaannya
cuma bagaimanakah sikap kita setelah berbuat dosa. Adakah kita segera bertaubat
atau melengah-lengahkannya.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Jumu’ah Ayat 8:-Bermaksud: “Katakanlah (Wahai
Muhammad): Sesungguhnya maut yang kamu melarikan daripadanya itu, tetaplah
ia akan menemui, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui
segala yang ghaib dan yang nyata, lalu DIA memberitahu kepada kamu apa yang
telah kamu lakukan (serta akan membalasnya).”
Segala dosa dan noda yang kita lakukan akan menjadi kotoran yang menghitamkan
hati. Hanya taubat sahajalah yang mampu menyucikan segala kekotoran di dalam
hati kita.
Rebutlah peluang kemurahan kasih sayang Allah menerima taubat hambaNya
sepertimana dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH
daripada Abu Musa al-Asy’ari RA Bermaksud: “Sesungguhnya Allah
‘Azzawajalla ‘menghulurkan tangannya’ (bersedia menerima taubat) pada waktu
malam agar orang yang melakukan kejahatan pada waktu siang bertaubat; dan Allah
‘menghulurkan tangannya’ (bersedia menerima taubat) pada waktu siang agar orang
yang melakukan kejahatan pada waktu malam bertaubat; sehinggalah matahari
terbit dari barat” .
Bertaubat adalah suruhan Allah dan amalan rutin Rasulullah SAW yang wajib
dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah.
Sesungguhnya orang yang sengaja melambat-lambatkan bertaubat akan berdepan
dengan dua bahaya besar, iaitu:
Pertama : Hatinya menjadi keras dan gelap. Sukar untuk menerima nasihat dan
kebenaran. Inilah akibat perbuatan maksiat dilakukan kepada Allah sehingga
menjadi sangat susah untuk mengikis dan menghapuskannya.
Kedua : Maut dalam kemurkaan Allah. Kematian datang sebelum sempat ia
bertaubat, lalu ia menemui Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh dosa dan pasti
menyeretnya kepada suasana hidup yang tidak selamat di akhirat nanti.
Oleh itu, apabila menyedari telah melakukan dosa, maka segeralah memohon ampun
kepada Allah SWT dengan bertaubat. Orang yang bertaubat dengan ikhlas dan
bersungguh-sungguh hendaklah yakin Allah SWT pasti menerima taubatnya.
Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni ada menyebut di dalam bukunya yang bertajuk “Pesanan
Untuk Orang Berdosa”, bahawa jalan menghampiri taubat atau mendorong untuk
bertaubat ialah tidak panjang angan-angan.
Firman Allah SWT dalam Surah Faatir ayat 37: Bermaksud: “dan mereka
menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): “wahai Tuhan kami,
keluarkanlah kami (dari azab ini), kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh,
yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan.” (lalu Allah menempelak mereka):
Bukankah KAMI telah melanjutkan umur kamu dan member masa yang cukup untuk
berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan
kamu pula telah didatangioleh Rasul (KAMI) yang memberi amaran.”
Hayatilah kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari yang mulia
ini:
Pertama : Tiada alasan untuk kita menjawab di hadapan Allah SWT nanti dengan
mengatakan kita tidak tahu, terlupa atau tidak sedar kerana semua amalan dan
maksiat akan dicatat dan dihisab walau sebesar zarah;
Kedua : Hanya dengan Taubat Nasuha sahajalah yang akan membersihkan kita
daripada segala noda dan dosa yang telah dilakukan seterusnya memperoleh
keampunan Allah SWT; dan
Ketiga : Taubat hendaklah dilakukan dengan segera dan istiqamah sebaik sahaja
tersedar telah melakukan dosa, kerana ajal mungkin berkunjung tiba dikala lafaz
taubat belum sempat dipinta.
Marilah sama-sama kita merenung peringatan Allah SWT di dalam Surah Asy-Syura
Ayat 25:-Bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya
(yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan (yang mereka lakukan) dan Dia
mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.”
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment