Thursday, July 14, 2016

Hapuskan istilah "Judi Haram" sebab semua unsur judi adalah haram....



Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita begitu bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi kegiatan dan aktiviti "Judi Haram". Pihak berkuasa agama negeri diingatkan agar sentiasa menggempur kegiatan “Judi Haram” dan menguatkuasakan undang-undang di bawah enakmen syariah masing-masing kepada penganut Islam yang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu. Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga pernah mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi membanteras kegiatan “Judi Haram” yang kini berada pada tahap serius dan luar biasa. Pasukan elit khas ini bakal memiliki keanggotaan dua kali ganda berbanding Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) serta turut mempunyai kuasa dan peranan seperti pasukan polis dan cekap serta terlatih dari segi operasi.

Isu judi adalah isu yang sudah lama, namun ia masih berlaku. Banyak faktor yang boleh kita kaitkan, antaranya kelicikan pengusaha “Judi Haram” yang beroperasi dan berselindung atas nama pusat hiburan keluarga. Lebih-lebih lagi, mereka dipercayai mempunyai rangkaian kerjasama dengan sindiket perjudian antarabangsa seperti di Hong Kong, Macau serta Taiwan.

Soalnya apakah yang dimaksudkan dengan istilah “Judi Haram” atau memang ada istilah lain seperti “Judi Halal”. Istilah ciptaan manusia “Judi Haram” adalah untuk sebarang aktiviti perjudian yang tidak dilesenkan dan perlu diperangi sebaliknya untuk aktiviti perjudian yang berlesen ia tiada halangan dan boleh beroperasi secara biasa atau luar biasa.

Semua agama melarang penganutnya berjudi. Ajaran Buddha melihat gejala berjudi boleh mendatangkan kecelakaan dan pelaku akan diberikan balasan dan hukuman Tuhan. Ajaran Hindu melarang keras penganutnya berjudi kerana boleh menimbulkan permusuhan dan kejahatan. Kristian pula berpandangan judi boleh menjadikan manusia itu hamba kepada wang dan menyimpang dari Tuhan.

Menurut agama Islam, berjudi adalah amalan yang ditegah kerana ia perbuatan keji. Allah berfirman menerusi ayat 90, Surah al-Maidah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Judi boleh membuatkan seseorang itu ketagih. Ia juga membuatkan seseorang lupa tentang tanggungjawabnya terhadap keluarganya akibat suka berjudi. Ianya juga membawa masalah sosial kepada masyarakat. Bukan sedikit masalah yang berlaku akibat dari kegilaan terhadap perjudian ini sehingga kehidupan penagih judi ini hidup melarat dan tidak terurus.

Pihak kerajaan sepatutnya mengharamkan semua bentuk kegiatan perjudian dengan tidak memberi sebarang lesen kepada mana-mana premis kerana ianya lebih banyak memberi kerosakan dari kebaikan kepada masyarakat. Negara dan rakyat akan aman dan selamat tanpa judi. Judi boleh merosakkan masa depan anak-anak muda dan juga generasi akan datang. Mencegah lebih baik dari mengubati kalau bukan sekarang, bila lagi?

No comments: