Sunday, June 22, 2008

Yong Nafi Ditawar Jawatan TPM


Yong nafi ditawar jawatan TPM
Jun 21, 08 8:12pm

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menyifatkan sebagai tidak masuk akal dakwaan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa beliau mengkritik Perdana Menteri kerana termakan tawaran daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya tidak termimpi pun mahu jadi Timbalan Perdana Menteri. Mungkin kerana saya lantang menyuarakan isu mengenai Sabah maka beliau (Khairy) boleh cakap apa aja. "Kalau bukan kerana kemenangan cemerlang BN Sabah dan Sarawak...BN sudah jatuh dalam pilihanraya yang lepas. Jadi apa salahnya kita minta perhatian sedikit. Khairy seorang muda. Dia kena banyak belajar (dalam politik)," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Serbaguna Likas, dekat sini hari ini. Semalam, Khairy berkata beliau difahamkan Yong akan dilantik jawatan nombor dua kerajaan sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri kelak. Yong berkata beliau tidak tamak jawatan dalam kerajaan seperti yang diwar-warkan dalam media, demikian menurut laporan Bernama. "Saya ditawarkan jawatan senator dan Wakil Khas berkaitan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) tetapi saya tidak terima kerana saya melihatnya sebagai "sogokan politik" supaya tidak terus menyuarakan isu-isu mengenai Sabah," katanya. Yong juga ditanya sama ada SAPP akan mengambil tindakan terhadap Timbalan Presiden SAPP Datuk Raymond Tan yang tidak sehaluan dengan ahli Majlis Tertinggi SAPP dalam memutuskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.Menurut beliau, parti itu tidak bercadang berbuat demikian.
BPR nafi ugutan
Sementara itu, Bernama turut melaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menafikan dakwaan Yong bahawa tindakan BPR membuka kertas siasatan ke atasnya sebagai satu ugutan.Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata badan itu tidak pernah mengugut sesiapa pun dan tindakan BPR itu tidak bermotifkan politik atau atas arahan mana-mana pihak."Sebagai sebuah badan penguatkuasa undang-undang, kita jalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Mengenai masa kertas siasatan itu dibuka iaitu sehari selepas Yong membuat kenyataan tidak percaya kepada pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ahmad Said berkata ia secara kebetulan sahaja kerana nama Yong disebut dalam perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kala Lumpur kelmarin.BPR membuka kertas siasatan ke atas Yong kerana disyaki terlibat dalam satu kes rasuah membabitkan RM5 juta yang didakwa dilakukannya ketika menjadi Ketua Menteri Sabah.
Apa pun yang cuba diperkatakan oleh BPR tentang masa kertas siasatan itu dibuka, namun rakyat rasa seperti ada yang tidak kena. Seperti yang dikatakan oleh Datuk Yong dan BPR perlu menjawab soalan tersebut iaitu "kenapa selepas 12 tahun baru hari ini kes itu disebut semula". Nampak seolah-olah ianya dijadikan sebagai suatu kekuatan untuk menggawal seseorang.

No comments: