Pada
bulan Zulhijjah 1818 di zaman pemerintahan British, bapa saya bernama Sarabi
Bin Sakbani berpindah daripada kg. Libaran ke Pulau Tambisan seramai 12 orang.
Apabila mereka sampai di Tambisan Pulau, mereka terus membahagi-bahagi tanah di
Tambisan Pulau dan sekali gus membersihkan tanah yang mereka perolehi
masing-masing. Selepas membersihkan tanah masing-masing, mereka balik semula ke
Libaran untuk mengambil benih kelapa pisang dan ubi kayu. Apabila mereka datang
semula ke Tambisan, mereka bercucuk tanam di tanah yang mereka
bahagi-bahagikan. Tanaman mereka subur dan menghasilkan makanan harian mereka.
Dalam tempoh beberapa tahun kemudian, kebanyakan mereka yang berpindah ke
Tambisan Pulau telah mengalami sakit yang berpanjangan. Oleh yang demikian, mereka
mengambil keputusan untuk kembali ke Libaran serta meningalkan tanaman yang
mereka tanam.
Selang
beberapa tahun, bapa tiri kepada Imam Mansor yang bernama Mandaring dan bersama
birasnya yang bernama Imam Laja pergi ( 12 orang yang berpindah ke Tambisan
pada tahun 1818) ke kepulauan Suluk, Filipina untuk membeli Beras, Sebelum
mereka berdua ini ke Filipina, mereka singgah di Tambisan untuk melihat tanaman
mereka yang pernah mereka tanam sebelum ini. Setelah berfikir panjang, maka
mereka mengubah fikiran untuk kembali ke Tambisan. Selang beberapa bulan mereka
semua mengambil keputusan untuk berpindah ke Tambisan dan melantik seorang
ketua kampung Tambisan yang pertama bernama Panglima Tumikbi semasa
pemerintahan kerajaan British. Apabila mereka sampai di Tambisan, mereka
mengambil semula tanah yang telah mereka bahagi-bahagikan dahulu. Ketua kampung
Panglima Tumikbi ke Lahad Datu untuk memohon tanah yang telah mereka
bahagi-bahagikan di Distrik Office. Rasdin Muji berbangsa British yang bertugas
pada masa itu, telah meluluskan permohonan tanah mereka. Selepas Panglima
Tumikbi meninggal dunia, Allahyarham telah digantikan oleh Said bin Tahir
menjadi Ketua Kampung Tambisan. Pada tahun 1946, Jepun datang ke Tambisan
selepas itu, Jepun menyerah kalah dan diganti pula oleh Kerajaan Australia.
Selepas kerajaan Australia mengambil pentadbiran Tambisan, pihak British
mengambil alih pentadbiran.Ketiadaan Polis pada masa itu menyebabkan pihak
Kerajaan British melantik seorang penduduk tempatan iaitu Alawanga bin Mantas
sebagai kerani dan Polis di Tambisan. Bangunan Balai Polis pada masa itu ialah
bertiangkan kayu, beratap dan berdindingkan nipah. Lantainya nibung dan selepas
beberapa tahun kemudian bangunan Balai Polis tersebut digantikan dengan lantai
dan dinding papan atapnya dibuat daripada kayu Belian.
Kerani
pertama yang dilantik di Pejabat Daerah Kecil Tambisan pada masa itu ialah
kerani Jata anaknya yang benama Damim yang berasal dari Daerah Lahad Datu yang
berpendidikan Darjah II dan atas usaha beliau membina sebuah sekolah di
Tambisan dan mengajar seramai 22 orang pelajar dengan menulis di papan batu.
Selepas kerani Jata ditukar beliau telah digantikan oleh Tun Sakaran Dandai (
Mantan TYT Sabah ). Selepas perkhidmatan Tun Sakaran Dandai, Tun telah
digantikan oleh Sahari bin Tulis. Apabila Sahari bin Tulis ditukarkan ke
Kinabatangan, beliau digantikan pula oleh kerani yang berasal dari Tatabuan
yang bernama Agta. En. Agta telah bertukar kerja ke Marin Department sebagai
Kapten. Beliau telah digantikan oleh En. Mohd Jamari dari daerah Lahad Datu.
Apabila beliau meninggal dunia beliau digantikan oleh Mudreka bin Agil. Selepas
tahun 90-an pejabat daerah kecil di tambisan dan kerani tidak diwujudkan lagi,
tetapi bangunannya masih wujud sehingga hari ini.
Berbalik
kepada perlantikan ketua kampung di Tambisan, selepas 4 tahun Panglima Ali
menjadi ketua kampung, beliau telah digantikan oleh Ogi bin Amir Hassan, tetapi
gelaran Panglima telah dimansuhkan dan digantikan dengan gelaran OT. Selang
beberapa tahun OT Ogi bin Amir Hassan telah jatuh sakit dan mengalami lumpuh
separuh badan ( Strok ). Oleh kerana kesihatan OT Ogi tidak mengizikan beliau
menjalankan tugas, beliau telah digantikan oleh Mahiruddin Bin Haji Hussin
iaitu bapa kepada Datuk Johar di masa pemerintahan kerajaan USNO. Semasa
pilihanraya pada tahun 1976, USNO telah kalah kepada Parti Berjaya, oleh yang
demikian, pertukaran kepimpinan dirombak, apabila Hj. Mahiruddin telah
digantikan oleh Pendekar Nusur bin Mohd Sulani menjadi ketua kampung. Tidak
lama selepas itu, Pendekar Nusur telah dinaikkan pangkat ke Ketua Anak Negeri.
Tempat beliau telah digantikan oleh Hj. Ismail bin Mohd Gani. Hj. Ismail bin
Mohd Gani pun telah dinaikkan pangkat ke Wakil Ketua Anak Negeri. Selepas itu,
Imam Mansor bin Sarabi pula telah dilantik menjadi ketua kampung yang baru.
Beliau memegang jawatan ketua kampung di Tambisan Pulau selama 15 tahun.
Selepas Imam Mansor bin Sarabi ditamatkan perkhidmatan, beliau telah digantikan
pula oleh Hj. Undin bin Oting. Selepas Hj. Undin meninggal dunia beliau telah
digantikan pula oleh menantunya yang bernama Abd Wahab bin Ismani sehinggalah
ke hari ini.
Semasa
pemerintahan British, Tambisan Pulau adalah dibawah pentadbiran Daerah Lahad
Datu. Ketua Anak Negeri Tungku yang pertama adalah Panglima Nalaja @ Buaya Bin
Noh. Setelah pentadbirannya diambil alih oleh Sandakan, ketua anak negerinya
pula telah digantikan oleh Arjani bin Abantas. Selang beberapa tahun,
pentadbiran Tambisan Pulau telah diambil alih oleh Kinabatangan, setelah KAN
Arjani meninggal dunia, Allahyarham pula digantikan oleh KK Nusur. Apabila KAN
Nusur meninggal dunia, penggantinya ialah En. Moktar Bin Zakaria ada bertugas
sekarang ini.
Perkembangan
agama Islam di Tambisan bermula apabila seorang ulama dari Yaman telah
berhijrah ke Sabah iaitu di daerah Sandakan. Beberapa tahun duduk di Sandakan,
tuan guru mendengar khabar bahawa di Tambisan mempunyai tanah yang luas dan
subur untuk bercucuk tanam. Oleh yang demikian, tuan guru telah mengambil keputusan
untuk berhijrah ke Tambisan. Sepanjang tuan guru berada di Tambisan beliau
telah membantu dan memperkembangkan ajaran Islam dan seterusnya mengajar
orang-orang di kampung Tambisan mengaji Al- Quran, mengajar sembahyang, Fardu
Ain dan Fardu Kifayah dan berbagai-bagai lagi tuan guru ajarkan kepada penduduk
kampung Tambisan.
Tambisan
Pulau mempunyai sebuah balai Polis dan Sekolah Kebangsaan . Dalam tahun 2009
beberapa pemimpin telah datang ke Tambisan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri,
Penolong setiausaha KPLB Sabah, Datuk Nasir Bin Tun Sakaran, menteri di Jabatan
Ketua Menteri dan pelbagai lapisan pemimpin yang hadir bagi melihat sendiri
suasana di Tambisan. Dan ini sudah tentunya akan membawa kepada pembangunan
yang terancang dan seterusnya memberi manfaat kepada penduduk kampung Tambisan
keseluruhannya.
Tambisan
Darat
Tambisan
Darat telah dibuka oleh orang-orang tua yang terdiri dari penjaja,
panglima-panglima yang membawa beberapa orang untuk membersihkan hutan dan
dijadikan kebun. Pembukaan tanah di Tambisan Darat ini telah diketuai oleh
Panglima Arak. Semasa pemerintahan Jepun, Panglima Arak telah berjuang
mempertahanan tanah Tambisan Darat. Setelah Panglima Arak meninggal dunia,
beliau telah digantikan oleh Panglima Gampal. Selepas pemerintahan Jepun,
British telah mengambil alih pemerintahan dan melantik ketua kampung iaitu OT
Lajja bin Malik. Apabila OT Lajja bin Malik meninggal dunia, Imam Mansor bin
Sarabi menggantikan beliau sebagai ketua kampung selama 3 tahun sebelum Imam
Mansor ditukarkan ke Tambisan Pulau. Menggantikan Imam Mansor di Tambisan Darat
ialah Ahmad bin Abdul Hari semasa pemerintahan kerajaan PBS. Pada pilihanraya
Negeri tahun 1994, tampuk pemerintahan berubah setelah kerajaan Barisan
Nasional menang dalam pilihanraya tersebut. Kepimpinan bertukar dan ketua
kampung Tambisan Darat telah digantikan oleh En. Abdul Majid Bin Tanbi dan
menjadi ketua kampung sehinggalah hari ini.
" Sejarah Tambisan ini saya perolehi dari Profil Kampung Tambisan, semua cerita dan keterangan di atas adalah karangan Imam Mansor bin Sarabi. Segala kesulitan mengenai jalan ceritanya harap dimaafkan, kerana semua data yang saya perolehi adalah mengikut kehendak Imam Sarabi "
" Sejarah Tambisan ini saya perolehi dari Profil Kampung Tambisan, semua cerita dan keterangan di atas adalah karangan Imam Mansor bin Sarabi. Segala kesulitan mengenai jalan ceritanya harap dimaafkan, kerana semua data yang saya perolehi adalah mengikut kehendak Imam Sarabi "
Sumber
rujukan: http://kamarudinhamid.blogspot.my/
No comments:
Post a Comment