Saturday, March 26, 2016

ASAL USUL BULUDAN ATAU BELURAN



Beluran merupakan sebuah daerah yang terletak dalam Bahagian Sandakan, Sabah. Ia terletak kira-kira 88 kilometer dari bandar Sandakan. Telupid yang merupakan sebuah daerah kecil bagi Beluran, terletak kira-kira 100 kilometer dari pekan Beluran. Daerah ini mempunyai sebuah kawasan Parlimen (Parlimen Beluran) dan dua kawasan DUN, iaitu Labuk dan Sugut.

Daerah Beluran terletak di Timur-Utara Sabah, bersempadan dengan daerah Pitas dan Kota Marudu di Utara, Ranau dan Tongod di Barat, Kinabatangan di Tenggara dan Sandakan di Selatan. Dengan keluasan 7,717 km persegi Daerah Beluran merupakan daerah kedua terbesar di Sabah selepas Daerah Tongod. Di sebelah Barat Daerah ini merupakan dataran tinggi dan berbukit bukau, ia merupakan unjuran Banjaran Crocker manakala di sebelah Timur merupakan dataran rendah, sebahagiannya hutan paya bakau di pesisir pantai dan muara sungai. Sungai utama yang melalui Daerah Beluran ialah:- Sungai Labuk,Sungai Sapi,Sungai Tongod,Sungai Sugut,Sungai Lingkabau,Sungai Paitan,dan Sungai Tangkarason.



Beluran dahulunya adalah lebih dikenali sebagai Daerah Labuk-Sugut dan dicatatkan telah wujud sejak awal Pentadbiran British North Borneo Charterd Company, ia juga dinyatakan sebagai antara Daerah yang terawal di Negeri Sabah.

Nama bagi Beluran diambil sempena nama bukit yang menjadi “Land Mark” pekan tersebut, iaitu dalam bahasa Dusun Labuk, Sungai dan Tidong disebut “Buludan” Pertukaran nama terjadi akibat daripada salah sebutan dan ejaan dalam surat menyurat oleh warga Inggris yang tidak fasih menyebut perkataan dalam bahasa tempatan menyebabkan Buludan bertukar kepada Beluran dan kekal sehingga kini.

Buludan adalah kata dalam bahasa Dusun yang diberi penambahan “an” dihujung kata “bulud” penambahan kata “an” kepada Buludan tersebut adalah bagi menggambarkan makna kata tersebut sebagai ‘hanya dapat sampai dengan berjalan kaki bertongkatkan tulang betis‘, perkataan “bulud” adalah merupakan kata dasar kepada perkataan “Buludan”. “Bulud” adalah kata nama di bahagian kaki manusia mahupun binatang atau dalam bahasa Dusun Talantang bermaksud tulang betis, perkataan ini adalah yang menterjemahkan kata nama “betis” dalam bahasa Melayu. Jadi secara mudahnya kata “Buludan” ini dapatlah di seertikan sebagai “MEMBETIS” dalam bahasa Melayu atau dalam konteks pemaknaan dalam bahasa Dusun Sugut adalah “Hanya dapat sampai dengan berjalan kaki bertongkatkan tulang betis”.

Menurut kalangan tua-tua dari masyarakat Dusun di Sugut khususnya di Kaingaran atau pun di Kg. Iran Baru Beluran dan juga oleh sebahagian masyarakat Dusun setempat sekitar sungai Sugut bahawa kononnya sejak pihak penjajah membuka Pejabat Pentadbirannya di kawasan ini maka ramai kalangan penduduk tempatan khususnya yang tinggal atau berasal dari pedalaman berdatangan, kedatangan penduduk pedalaman tersebut adalah untuk memperdagangkan hasil hutan dan tani mereka, selain daripada itu sebahagian besarnya adalah untuk mendapatkan pekerjaan seperti buruh balak mahupun buruh (mencari) rotan.

Masyarakat pedalaman khususnya dari pedalaman Sugut dan Paitan tidak mempunyai banyak pilihan untuk ke tempat terbabit selain daripada berjalan kaki, sungguh pun sebenarnya mereka dapat ke tempat tersebut dengan perahu namun bahaya lebih banyak jika mereka menggunakan perahu ke tempat itu kerana perahu yang mereka gunakan adalah perahu bulat dan mudah terbalik apabila sampai di laut, selain itu ia juga akan memakan masa lebih lama berbanding dengan berjalan kaki. Sebenarnya, bagi masyarakat pedalaman dari Sugut mereka akan berperahu sehingga ke Lingkabau (kalau mahu menggunakan laluan laut akan tembus ke Terusan Sugut) kemudian mereka akan berjalan kaki atau dengan memikul perahu (sa'non talud) sehingga ke sungai Tongod, perjalanan tersebut memakan masa lebih kurang 3 hari 2 malam (ke Buludan) malahan ada yang lebih dari itu manakala semasa pulang pula memakan masa hampir 4 hari 3 malam.

Dari sungai Tongod mereka akan berperahu jika ada perahu (jangkar boleh/dapat juga digunakan namun sangat dikhuatiri kerana mudah terdedah dengan bahaya ancaman buaya- selalunya mereka membuat perahu dan/ menyimpannya di tempat tersebut yang mereka panggil “Wasai“). Alternatif lain ialah berjalan kaki selepas menyeberangi sungai Tongod. Apabila mereka dekat/hampir sampai ke destinasi petanda pertama mereka kenalpasti adalah bukit yang digelar “buludan” tersebut dan selalunya mereka akan berkata “U'dih lo' nulou pongobuludan tokou kasasari..“, hal itu kerana bukit itulah satu-satunya yg paling tinggi di kawasan tepi muara tersebut. dari semasa ke semasa akhirnya bukit itu pun di nama “BULUDAN” sebagai tanda keperitan mereka berjalan kaki untuk ke tempat tersebut.

Pejabat Pentadbiran Daerah Beluran telah ditubuhkan seawal tahun 1916 walaubagaimanapun semua rekod dan data berkenaan telah musnah akibat perang dunia ke dua, dan rekod Pegawai Daerah beberapa tahun juga musnah. Menurut sumber daripada orang lama, Encik B.S Willie telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Beluran pada tahun 1945. KLAGAN merupakan Pusat Pentadbiran Daerah Labuk Sugut yang pertama, tetapi kerana kawasan tersebut seringkali dilanda banjir, Pemerintah British telah memindahkan pusat pentadbiran tersebut ke kaki bukit Beluran. Begitulah serba sedikit tentang Beluran.

Rujukan:


No comments: