Raja Petra ditahan bawah ISA
Sep 12, 08 1:37pm
Blogger Raja Petra Kamaruddin telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) kerana didakwa boleh mengganggu dan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Raja Petra ditahan mengikut Seksyen 731 ISA yang membenarkan penahanan sehingga 60 hari.
"Polis akan membuat penilaian dalam tempoh tersebut dan jika mereka merasakan beliau perlu ditahan lebih 60 hari, maka polis akan merujuk kepada saya," katanya seperti yang dipetik oleh The Star.
Bernama pula memetik Syed Hamid sebagai berkata, tindakan itu diambil setelah pelbagai kenyataan dibuat oleh Raja Petra dalam laman blog Malaysia Today termasuk yang terbaru yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW). "Kita telah banyak kali memanggil dan menasihatkan beliau berikutan kenyataannya namun beliau masih terus menulis hingga boleh menimbulkan ancaman," katanya.
Syed Hamid juga mengesahkan bahawa surat tunjuk sebab telah dihantar kepada Sin Chew Daily, The Sun and Suara Keadilan.
"Mereka mempunyai tempoh seminggu untuk menjawab," tambahnya.
Menurut isteri Raja Petra - Marina Lee Abdullah - 10 anggota polis datang ke rumah mereka di Sungai Buluh pada kira-kira jam 1.10 tengahari tadi untuk menahannya.Ketika Malaysiakini menghubunginya pada jam 1.25 tengahari, anggota polis masih berada di rumahnya.
Raja Petra kemudiannya dibawa polis dari rumahnya pada jam 1.50 tengahari ke lokasi yang tidak diketahui.
Pada 6 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran bahawa editor lamanweb Malaysia Today itu mungkin dikenakan ISA kerana menyiarkan komen yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung perkara itu.Mereka mendakwa komen beliau dalam artikel yang bertajuk "I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim" didakwa menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam.
Kemudian, Tan Hoon Cheng, wartawan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, ditahan malam tadi selepas melaporkan kenyataan seorang pemimpin Umno yang didakwa berkata kaum Cina "menumpang" di negara ini.Laporan Tan telah mencetuskan pertikaian yang hebat dalam gabungan Barisan Nasional yang dianggotai parti-parti komponen yang berasaskan kaum. Umno - selaku tulang belakang BN - terpaksa bertindak menghukum pemimpin berkenaan."Rakan-rakannya (Tan) dari Sin Chew Daily terperanjat dengan penahanannya," kata akhbar tersebut dalam satu kenyataan. "Sin Chew Daily akan berpegang teguh kepada pendirian editorial kami," tambahnya.
Sementara itu, Teresa Kok, seorang ahli Parlimen dari DAP - sebuah parti dalam barisan pembangkang - Pakatan Rakyat - juga turut ditahan di bawah ISA.Sementara tidak banyak maklumat yang diperolehi mengenainyha, Teresa berdepan dengan dakwaan yang beliau telah mengadu bunyi bising pembesar suara dari sebuah masjid di Puchong. Teresa telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tuduhan terhadapnya itu "tidak masuk akal".ISA yang ditentang oleh badan-badan hak asasi manusia supaya dimansuhkan, membolehkan seseorang itu ditahan selama dua tanpa bicara dan boleh dilanjutkan tempohnya setiap dua tahun berikutnya. Ia biasanya digunakan untuk menahan suspek keganasan.Pembangkang yang diketui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merancang untuk mengambil kuasa minggu depan, mengecam tindakan menggunakan ISA sebagai "kejam dan tiada justifikasinya".
No comments:
Post a Comment