Monday, September 8, 2008

Anwar Hanya Berkesan Tarik Undi Bukan Melayu


Mat Sabu: Anwar hanya berkesan tarik undi bukan Melayu...
Jimadie Shah Othman Sep 6, 08 9:39pm



Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya berkesan mengubah undi bukan Melayu, tetapi kurang berkesan di kalangan orang Melayu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu. “Faktor Anwar di kalangan orang bukan Melayu. Beliau hendak memperkenalkan dasar baru. Walaupun beliau tidak lagi meletakkan apakah dasar baru itu, tetapi memberi harapan kepada orang bukan Melayu,” kata Mohamad. “Bagi orang Melayu, faktornya ada tetapi tidak sebesar mana. Kepada orang bukan Melayu, memberikan harapan,” katanya ketika diminta mengulas sejauhmana Anwar menjadi faktor kemenangan besar parti-parti dalam Pakatan Rakyat – termasuk PKR dan DAP -- dalam pilihanraya umum lalu. Mohamad berkata, cabaran utama PAS adalah untuk “mempertahankan dasar Islam dan dalam masa yang sama berkawan dengan parti-parti lain”. Isu-isu seperti negara Islam, terutamanya dengan DAP dilihat masih menghantui parti itu. “Bagi kami, itulah, dalam hendak mempertahankan dasar Islam, dan DAP yang secara terang menyebut dia menolak negara Islam dan sebagainya, bagaimana dua kumpulan ini hendak bekerjasama? Ini merupakan cabaran yang besar kepada kami. “Tetapi kami tidak melihat itu sebagai satu masalah yang tidak boleh selesai,” kata Mohamad yang ditugaskan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berhubung dan “tinjau-tinjau” dengan pimpinan DAP ke arah membentuk kerajaan bersama di empat negeri – selain Kelantan – sehari selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu. “Sukar tetapi boleh dilalui. Sukar sebab kita mentadbir manusia. (Ketawa) Umno sama Umno pun kita tengok lagi teruk. Tidak ada benda yang tidak boleh kita cabar,” kata Mohamad kepada Malaysiakini ketika diwawancara di rumahanya, di Shah Alam kelmarin.


'Dominasi PKR'

Ditanya tentang dominasi PKR dan Anwar dalam Pakatan, beliau berkata: “Iyalah, siapa pun mendapat kerusi lebih, jadi mereka berasa hebat. Biasalah itu. Macam dalam BN, Umno kerusi terbanyak.
"Sekarang dalam Pakatan, dalam pilihanraya lepas, PKR yang terbanyak, 31 kerusi, DAP 28 kerusi dan PAS 22 kerusi. “Jadi, kalau orang-orang PKR merasakan begitu (rasa hebat), tidak ada masalah. Sebab mereka sekarang ini mendahului dari sudut jumlah kerusi. Tetapi dominanasi saya tidak nampak, tidak timbul dalam parti ini.” Kenyataan-kenyataan penasihat PKR - Anwar - juga, kata Mohamad, selalunya dibuat atas nama peribadi, bukan mewakili Pakatan. “Tetapi kenyataan misalnya kalau memerintah, harga minyak akan turun, walaupun itu peribadi, tetapi itu boleh diterima akal. Itu tidak ada masalah,” katanya. Bagaimanapun, menurutnya, PKR memainkan peranan sebagai “orang tengah” antara PAS dan DAP disebabkan “persepsi media” dan “ketakutan pengundi Cina” terhadap dasar-dasar PAS yang pro-Islam. Mengulas tentang aliran-aliran dalam PAS yang disebut sebagai “konservatif” dan “moderat”, beliau berkata ia biasa dalam mana-mana parti politik, tetapi keputusan parti didokong bersama. “Macam kita kata, gaya belah rambut sahaja. Sama ada hendak belah tengah atau belah tepi. Sampai peringkat pertarungan ideologi dalam parti, itu tidak ada.” Beliau menafikan terdapat kewujudan Kumpulan Erdogan yang diketuai oleh Datuk Husam Musa.

No comments: