Saturday, September 13, 2008

Muhyiddin Tak Takut Risiko

Muhyiddin tak takut risiko...
Sep 12, 08 5:07pm


Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan beliau sedia berdepan dengan apa jua risiko ekoran kenyataannya mempersoalkan proses pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2010 yang dianggapnya terlalu lama. Katanya, pandangan beliau agar pelan peralihan kuasa itu disegerakan adalah satu pandangan ikhlas berdasarkan kepada maklumat balas daripada banyak pihak yang telah menyatakan kebimbangan mereka tentang tempoh peralihan yang agak panjang itu. Muhyiddin, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, berkata pandangan itu juga tidak berniat untuk menyinggung perasaan perdana menteri, sebaliknya beliau merasakan ia adalah satu tanggungjawab untuk menyampaikan apa yang disuarakan oleh banyak pihak, demikian menurut laporan Bernama. "Sebab itu saya tidak takut untuk menyuarakan walaupun orang kata saya mungkin menanggung risiko. Itu risiko tidak apa, yang penting saya kata apa yang harus kita lakukan. "Saya telah berjumpa dengan banyak pihak, banyak badan setiap hari berhubung dengan saya, bertanya apa yang harus dibuat. Orang bertanya dengan saya apa akan jadi kepada negara kita. Mereka berasa bimbang, rasa takut," katanya kepada pemberita di persidangan perniagaan China Guandong-Malaysia di ibunegara hari ini.Semalam Abdullah melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Muhyiddin itu kerana ia dibuat oleh seorang anggota kabinet beliau sedangkan pelan itu dipersetujui oleh kabinet dan Majlis Tertinggi Umno. Muhyiddin berkata sebagai pemimpin Umno dan pemimpin dalam kerajaan, adakalanya mereka perlu berterus-terang walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan.Satu tanggungjawab "Saya tidak kata saya tidak hormat keputusan Majlis Tertinggi. Saya juga tahu ada ramai pihak yang agak bimbang dan saya agak takut kalau hal sebegitu tidak saya suarakan kerana saya tidak melihat seorang manusia pun di Malaysia yang sanggup untuk menyuarakan sesuatu yang ramai merasakan sebegitu. "Ini satu perkara yang bagi saya, adalah tidak baik. Apakah itu satu kesalahan? Saya serah kepada merekalah," katanya. Muhyiddin berkata banyak usaha telah kerajaan lakukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat tetapi usaha itu kelihatan seolah-olah tidak diterima malahan situasi tidak bertambah baik. "Ini satu kenyataan yang saya sebutkan, bukan satu pembohongan. Saya nyatakan apa yang betul. Itu terserah kepada pemimpin untuk terima atau tidak. Saya sudah jalankan tanggungjawab," katanya.Muhyiddin berkata tindakannya membuat kenyataan itu ialah kerana beliau bukan seorang hipokrit. "Sepanjang kerjaya politik saya, saya tidak pernah menjadi hipokrit. Saya cakap apa yang benar, dan yang benar itu kadangkala pedih. Tetapi hakikat itu tetap hakikat," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau menyerahkan kepada perdana menteri dan MT untuk menimbang sama ada kenyataan itu tersasar ataupun tidak," katanya. Yang penting, menurut beliau, ialah tanggapan rakyat mengenai perkara (peralihan kuasa) itu, sama ada mereka selesa ataupun tidak.Perlu beri perhatian "Saya rasa ramai yang tidak selesa, dan saya hanya menyuarakan apa yang dirasai oleh kebanyakan rakyat, kebanyakan ahli parti dan kebanyakan anggota Barisan Nasional. "Saya bukannya bercakap sesuatu yang bodoh atau pembohongan, ini adalah hakikat. Kita kena terima hakikat, dan jika kita tidak mahu terimanya, terpulang kepada masing-masing," katanya. Ketika ditanya sama ada beliau akan menemui Perdana Menteri, Muhyiddin berkata: "Saya bila-bila masa tidak menjadi masalah. Dan saya dengar beliau mungkin nak jumpa saya. Perhubungan saya tidak menjadi masalah dengan beliau."Mengenai tarikh yang sesuai untuk peralihan kuasa itu berlaku sekiranya dicepatkan, beliau berkata ia terserah kepada budi bicara presiden parti sendiri. Sambil merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membayangkan bahawa tarikh peralihan kuasa bukanlah keputusan yang harus dibuat oleh MT sahaja, Muhyiddin berkata ia penting bagi semua pihak iaitu pemimpin, MT, ahli dan juga rakyat. "Kalau rakyat tidak bersedia menerima pelan itu, mereka melihat tidak ada apa-apa makna, jadi itu satu yang amat saya fikirkan, kita perlu berikan perhatian," katanya. Semasa ditanya sama ada perakuan Najib positif atau tidak, Muhyiddin berkata: "Itu satu pandangan beliau yang saya fikir harus juga diambil kira kerana sebenarnya, pemimpin tidak dipilih oleh pemimpin. Pemimpin ditentukan oleh ahli dan di peringkat negara, kita dipilih oleh rakyat. "Pelan (peralihan kuasa) yang kita buat ini bukan hanya untuk kepentingan parti tapi penerimaan oleh rakyat. Saya bimbang kalau pelan itu kita terima tapi rakyat tidak terima dan menolak kita dan kita kalah, jadi ini satu beban besar. Bahaya bagi parti," katanya.

No comments: