Wednesday, September 17, 2008

Najib Kini Menteri Kewangan

Najib kini menteri kewangan, Pak Lah menteri pertahanan
Beh Li Yi Sep 17, 08 2:36pm


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengambil alih jawatan menteri pertahanan.Bercakap dalam satu sidang akhbar tengahari ini, Abdullah berkata, pertukaran jawatan itu berkuatkuasa serta merta.Perdana menteri yang memegang jawatan menteri kewangan sejak 2004 berkata, beliau telah memaklumkan keputusannya itu kepada kabinet.Abdullah yang juga presiden Umno berkata, beliau mungkin bersara lebih awal daripada tahun 2010 bergantung kepada prestasi Najib.Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin tersebut tetap berpegang kepada pelan peralihan kuasa pada 2010.Abdullah berkata, beliau dan Najib akan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan Umno Disember ini.Najib turut hadir di sidang akhbar tersebut dan apabila ditanya komennya, menjawab: "Kami telah bersetuju. Saya menyerahkannya kepada parti. Kami menawarkan diri kepada parti dan saya berharap mereka akan menerimanya".Terdapat desakan yang semakin meningkat ke atas Abdullah supaya bersara lebih awal, tetapi kini nampaknya Najib telah mencapai persetujuan dengan bosnya itu untuk menenangkan tuntutan dari akar umbi Umno.Kedua-dua mereka kini berdepan dengan kekalutan politik yang berpunca daripada pergeseran dalam Umno, di tengah-tengah cabaran ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha untuk menubuhkan kerajaan baru.

Saturday, September 13, 2008

Muhyiddin Tak Takut Risiko

Muhyiddin tak takut risiko...
Sep 12, 08 5:07pm


Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan beliau sedia berdepan dengan apa jua risiko ekoran kenyataannya mempersoalkan proses pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2010 yang dianggapnya terlalu lama. Katanya, pandangan beliau agar pelan peralihan kuasa itu disegerakan adalah satu pandangan ikhlas berdasarkan kepada maklumat balas daripada banyak pihak yang telah menyatakan kebimbangan mereka tentang tempoh peralihan yang agak panjang itu. Muhyiddin, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, berkata pandangan itu juga tidak berniat untuk menyinggung perasaan perdana menteri, sebaliknya beliau merasakan ia adalah satu tanggungjawab untuk menyampaikan apa yang disuarakan oleh banyak pihak, demikian menurut laporan Bernama. "Sebab itu saya tidak takut untuk menyuarakan walaupun orang kata saya mungkin menanggung risiko. Itu risiko tidak apa, yang penting saya kata apa yang harus kita lakukan. "Saya telah berjumpa dengan banyak pihak, banyak badan setiap hari berhubung dengan saya, bertanya apa yang harus dibuat. Orang bertanya dengan saya apa akan jadi kepada negara kita. Mereka berasa bimbang, rasa takut," katanya kepada pemberita di persidangan perniagaan China Guandong-Malaysia di ibunegara hari ini.Semalam Abdullah melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Muhyiddin itu kerana ia dibuat oleh seorang anggota kabinet beliau sedangkan pelan itu dipersetujui oleh kabinet dan Majlis Tertinggi Umno. Muhyiddin berkata sebagai pemimpin Umno dan pemimpin dalam kerajaan, adakalanya mereka perlu berterus-terang walaupun ada pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan.Satu tanggungjawab "Saya tidak kata saya tidak hormat keputusan Majlis Tertinggi. Saya juga tahu ada ramai pihak yang agak bimbang dan saya agak takut kalau hal sebegitu tidak saya suarakan kerana saya tidak melihat seorang manusia pun di Malaysia yang sanggup untuk menyuarakan sesuatu yang ramai merasakan sebegitu. "Ini satu perkara yang bagi saya, adalah tidak baik. Apakah itu satu kesalahan? Saya serah kepada merekalah," katanya. Muhyiddin berkata banyak usaha telah kerajaan lakukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat tetapi usaha itu kelihatan seolah-olah tidak diterima malahan situasi tidak bertambah baik. "Ini satu kenyataan yang saya sebutkan, bukan satu pembohongan. Saya nyatakan apa yang betul. Itu terserah kepada pemimpin untuk terima atau tidak. Saya sudah jalankan tanggungjawab," katanya.Muhyiddin berkata tindakannya membuat kenyataan itu ialah kerana beliau bukan seorang hipokrit. "Sepanjang kerjaya politik saya, saya tidak pernah menjadi hipokrit. Saya cakap apa yang benar, dan yang benar itu kadangkala pedih. Tetapi hakikat itu tetap hakikat," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau menyerahkan kepada perdana menteri dan MT untuk menimbang sama ada kenyataan itu tersasar ataupun tidak," katanya. Yang penting, menurut beliau, ialah tanggapan rakyat mengenai perkara (peralihan kuasa) itu, sama ada mereka selesa ataupun tidak.Perlu beri perhatian "Saya rasa ramai yang tidak selesa, dan saya hanya menyuarakan apa yang dirasai oleh kebanyakan rakyat, kebanyakan ahli parti dan kebanyakan anggota Barisan Nasional. "Saya bukannya bercakap sesuatu yang bodoh atau pembohongan, ini adalah hakikat. Kita kena terima hakikat, dan jika kita tidak mahu terimanya, terpulang kepada masing-masing," katanya. Ketika ditanya sama ada beliau akan menemui Perdana Menteri, Muhyiddin berkata: "Saya bila-bila masa tidak menjadi masalah. Dan saya dengar beliau mungkin nak jumpa saya. Perhubungan saya tidak menjadi masalah dengan beliau."Mengenai tarikh yang sesuai untuk peralihan kuasa itu berlaku sekiranya dicepatkan, beliau berkata ia terserah kepada budi bicara presiden parti sendiri. Sambil merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membayangkan bahawa tarikh peralihan kuasa bukanlah keputusan yang harus dibuat oleh MT sahaja, Muhyiddin berkata ia penting bagi semua pihak iaitu pemimpin, MT, ahli dan juga rakyat. "Kalau rakyat tidak bersedia menerima pelan itu, mereka melihat tidak ada apa-apa makna, jadi itu satu yang amat saya fikirkan, kita perlu berikan perhatian," katanya. Semasa ditanya sama ada perakuan Najib positif atau tidak, Muhyiddin berkata: "Itu satu pandangan beliau yang saya fikir harus juga diambil kira kerana sebenarnya, pemimpin tidak dipilih oleh pemimpin. Pemimpin ditentukan oleh ahli dan di peringkat negara, kita dipilih oleh rakyat. "Pelan (peralihan kuasa) yang kita buat ini bukan hanya untuk kepentingan parti tapi penerimaan oleh rakyat. Saya bimbang kalau pelan itu kita terima tapi rakyat tidak terima dan menolak kita dan kita kalah, jadi ini satu beban besar. Bahaya bagi parti," katanya.

Peralihan Kuasa: Najib Serah Kepada Ahli UMNO


Peralihan kuasa: Najib serah pada ahli Umno
Sep 12, 08 5:31pm

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada ahli Umno untuk memutuskan bilakah peralihan kuasa daripada Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu dilakukan. Beliau berkata pelan peralihan kuasa itu diputuskan pada Julai lalu oleh Perdana Menteri dan beliau sendiri serta disahkan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno. Najib berkata dalam perjumpaannya dengan ketua-ketua Umno bahagian, beliau telahpun menyatakan bahawa pelan itu mesti mendapat sokongan bahagian-bahagian Umno, khususnya dalam persidangan perwakilan tahun ini, demikian menurut laporan Bernama."Oleh itu, kerana Umno yang merupakan parti yang mengamalkan prinsip demokrasi, perkara ini hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli parti melalui proses dalaman parti, iaitu melalui mesyuarat tahunan dalam bahagian-bahagian," katanya selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Guangdong-Malaysia di ibunegara hari ini. Di bawah pelan peralihan kuasa itu, Abdullah akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno kepada Najib pada Jun 2010. Rabu lalu, Naib Presiden Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kedua-dua pemimpin itu supaya menimbangkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh itu terlalu lama. Semalam, Abdullah berkata beliau terkejut dengan kenyataan Muhyiddin kerana tarikh peralihan kuasa itu difahami dan dipersetujui oleh MT Umno serta Kabinet.

Raja Petra, Tan Hoon Cheng Dan Teresa Kok Ditahan ISA


Raja Petra ditahan bawah ISA
Sep 12, 08 1:37pm


Blogger Raja Petra Kamaruddin telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) kerana didakwa boleh mengganggu dan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Raja Petra ditahan mengikut Seksyen 731 ISA yang membenarkan penahanan sehingga 60 hari.
"Polis akan membuat penilaian dalam tempoh tersebut dan jika mereka merasakan beliau perlu ditahan lebih 60 hari, maka polis akan merujuk kepada saya," katanya seperti yang dipetik oleh The Star.
Bernama pula memetik Syed Hamid sebagai berkata, tindakan itu diambil setelah pelbagai kenyataan dibuat oleh Raja Petra dalam laman blog Malaysia Today termasuk yang terbaru yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad (SAW). "Kita telah banyak kali memanggil dan menasihatkan beliau berikutan kenyataannya namun beliau masih terus menulis hingga boleh menimbulkan ancaman," katanya.
Syed Hamid juga mengesahkan bahawa surat tunjuk sebab telah dihantar kepada Sin Chew Daily, The Sun and Suara Keadilan.
"Mereka mempunyai tempoh seminggu untuk menjawab," tambahnya.
Menurut isteri Raja Petra - Marina Lee Abdullah - 10 anggota polis datang ke rumah mereka di Sungai Buluh pada kira-kira jam 1.10 tengahari tadi untuk menahannya.Ketika Malaysiakini menghubunginya pada jam 1.25 tengahari, anggota polis masih berada di rumahnya.
Raja Petra kemudiannya dibawa polis dari rumahnya pada jam 1.50 tengahari ke lokasi yang tidak diketahui.
Pada 6 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran bahawa editor lamanweb Malaysia Today itu mungkin dikenakan ISA kerana menyiarkan komen yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung perkara itu.Mereka mendakwa komen beliau dalam artikel yang bertajuk "I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim" didakwa menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam.




Kemudian, Tan Hoon Cheng, wartawan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, ditahan malam tadi selepas melaporkan kenyataan seorang pemimpin Umno yang didakwa berkata kaum Cina "menumpang" di negara ini.Laporan Tan telah mencetuskan pertikaian yang hebat dalam gabungan Barisan Nasional yang dianggotai parti-parti komponen yang berasaskan kaum. Umno - selaku tulang belakang BN - terpaksa bertindak menghukum pemimpin berkenaan."Rakan-rakannya (Tan) dari Sin Chew Daily terperanjat dengan penahanannya," kata akhbar tersebut dalam satu kenyataan. "Sin Chew Daily akan berpegang teguh kepada pendirian editorial kami," tambahnya.

Sementara itu, Teresa Kok, seorang ahli Parlimen dari DAP - sebuah parti dalam barisan pembangkang - Pakatan Rakyat - juga turut ditahan di bawah ISA.Sementara tidak banyak maklumat yang diperolehi mengenainyha, Teresa berdepan dengan dakwaan yang beliau telah mengadu bunyi bising pembesar suara dari sebuah masjid di Puchong. Teresa telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tuduhan terhadapnya itu "tidak masuk akal".ISA yang ditentang oleh badan-badan hak asasi manusia supaya dimansuhkan, membolehkan seseorang itu ditahan selama dua tanpa bicara dan boleh dilanjutkan tempohnya setiap dua tahun berikutnya. Ia biasanya digunakan untuk menahan suspek keganasan.Pembangkang yang diketui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merancang untuk mengambil kuasa minggu depan, mengecam tindakan menggunakan ISA sebagai "kejam dan tiada justifikasinya".

Thursday, September 11, 2008

Pengerusi vs Ahli Panel

Forum Perdana semalam yang dipengerusikan oleh Dr. Mohd. Ridhuan Lee Abdullah, dengan tajuk “Antara Impian Atau Realiti”. Terus terang dikatakan bahawa celoteh pengerusi Ridhuan sangat membosankan dan sangat tidak sesuai pada tempatnya. Ahli panel memperkatakan tentang agama dan bangsa tentang masa depan yang penuh dengan kebimbangan tetapi sering disambut serta disampuk dengan gelak ketawa oleh pengerusi forum. Terdapat juga ahli panel yang menyumbangkan sebuah sajak tentang bangsa penuh dengan penghayatan, juga disambut dengan gelak ketawa pengerusi. Sepanjang perjalanan forum tersebut dari awal hingga akhir ianya diiringi dengan gelak ketawa berlebih-lebih oleh pengerusi seorang. Diharapkan dilain masa saudara Ridhuan tidaklah berlebih-lebihan dalam mempengerusikan forum biarlah kita bersederhana dalam menggunakan suara. Kurangkan ketawa kerana ianya boleh mematikan hati kita.

Penubuhan Kerajaan Baru Mungkin Terpaksa Dilewatkan


Penubuhan k'jaan baru mungkin terpaksa dilewatkan
Sep 11, 08 6:31pm

Tarikh sebenar penubuhan kerajaan baru mungkin terpaksa dilewatkan dari 16 September, sebagaimana rancangan awal, akibat beberapa ahli Parlimen telah dipaksa ke Taiwan, kata Pakatan Rakyat hari ini.Bagaimanapun, katanya, kepimpinan Pakatan Rakyat yang bertemu hari ini yakin proses pembentukan kerajaan baru yang berlandasan agenda reformasi sedang berjalan lancar. "Kami percaya kerajaan Barisan Nasional akan diganti dalam masa terdekat," katanya kenyataan Pakatan hari ini.Menurutnya, Pakatan yakin mendapat bilangan ahli Parlimen yang mencukupi untuk mempunyai majoriti dalam Parlimen yang membolehkan penubuhan kerajaan baru. "Bagaimanapun tarikh sebenar penubuhan kerajaan mungkin terpaksa dilewatkan dari 16 September sebagaimana rancangan awal akibat beberapa ahli Parlimen telah dipaksa ke Taiwan," katanya."Umum mengetahui negara kini masih dicengkam permasalahan politik, ekonomi dan sosial yang getir. "Akibat kehilangan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Umno dan BN, timbul percubaan mengalih pandangan kepada isu perkauman sempit.
Kestabilan negara
"Masalah perkauman yang diapi-apikan berterusan sehingga kini menunjukkan formula BN yang dihantui kebejatan rasuah dan korupsi gagal mentadbir negara ini," katanya. Menurut kenyataan itu lagi, api perkauman yang cuba dibakar akan mengancam kestabilan negara dan kebajikan rakyat. "Kepimpinan BN yang semakin lemah juga menyaksikan parti tersebut semakin berpecah dan semakin hilang arah."Melihat kepada perkembangan semasa inilah, ramai Ahli Parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan BN dan memutuskan untuk bersama dengan Pakatan Rakyat. "Pakatan Rakyat menegaskan bahawa kami tidak pernah dan tidak perlu membeli atau menyogok Ahli Parlimen berkenaan untuk menyertai kami. "Mereka didorong oleh kesedaran sendiri serta memberikan komitmen menyokong agenda perubahan," tambahnya.

'Rampas hak rakyat'
Kenyataan itu juga mendakwa terdapat segelintir elit pemerintah Barisan Nasional yang diketuai Umno, bercita-cita untuk mencipta huru hara agar dapat membantut perubahan, melumpuhkan demokrasi dan merampas hak-hak rakyat Malaysia yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan. "Kami khuatir seandainya masalah sengaja dibiar merebak dan berlarutan untuk memberikan alasan kepada pemerintah bertindak keras, termasuk penangkapan beramai-ramai menggunakan Undang-undang Darurat untuk membendung kemaraan rakyat yang menuntut pembelaan," kata kenyataan itu lagi.Sehubungan itu, Pakatan menyeru kepada rakyat Malaysia, termasuk penyokong Umno untuk bertenang dan tidak terperangkap dengan retorik perkauman. "Marilah kita rakyat Malaysia bersama-sama berusaha keras untuk memperbaiki keadaan ekonomi kita yang semakin teruk dan menyambut perubahan yang akan memberi harapan baru kepada kita semua."Kami percaya apa pun jua usaha BN hanyalah dapat melambatkan proses pertukaran kerajaan tetapi tidak dapat menggagalkannya kerana formula BN telah gagal," kata kenyataan itu lagi.

PM Terkejut Dengan Kenyataan Muhyiddin


PM terkejut dengan kenyataan Muhyiddin
Sep 11, 08 3:13pm


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyuarakan rasa terkejutnya dengan gesaan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddn Yassin supaya beliau menyerahkan kuasa lebih awal daripada 2010.Beliau kelihatan tidak gembira ketika wartawan bertanya kepadanya mengenai gesaan Muhyiddin itu.Perdana menteri berkata, pelan peralihan kuasa itu dipersetujui oleh kabinet.Oleh itu, katanya, kenyataan tersebut lebih merupakan pandangan peribadi Muhyiddin sendiri.Di bawah pelan tersebut, Abdullah akan menyerahkan jawatan perdana menteri, pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.Semalam, Muhyiddin berkata Abdullah patut memikirkan semula pelan peralihan kuasanya untuk mengundurkan diri menjelang 2010 kerana tempoh masa itu terlalu lama.Menurutnya, peralihan kuasa yang lebih awal akan memberi masa kepada Barisan Nasional membuat persediaan bagi menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.