Sunday, June 12, 2016

Sungai Segaliud terus tercemar hingga kini, dimana peranan Jabatan Alam Sekitar (JAS )?

Sungai Segaliud tercemar sejak dahulu lagi tanpa penyelesaian berkesan sehingga kini. Walaupun ramai pihak telah turun padang untuk meninjau di lokasi dan memberi pandangan, cadangan dan tindakan. Tetapi sungai Segaliud tetap tercemar, seperti ada kuasa kebal pihak tertentu iaitu pihak kilang kelapa sawit yang dianggap punca pencemaran sungai. Tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tersebut yang melakukan pembuangan sisa-sisa terus ke dalam sungai Segaliud telah mencemarkan sungai dan ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada orang ramai.
Sungai Segaliud adalah tadahan sumber pembekal air utama ke seluruh daerah Sandakan dan akibat sisa-sisa buangan daripada kilang yang berhampiran air sungai tersebut telah dicemari oleh pelbagai kekotoran. langkah segera perlu diambil kerana lebih 2,000 penduduk tinggal serta bergantung hidup dengan sungai tersebut sebagai sumber air dan pendapatan. Tambahan lagi empat kampung terletak di seberang sungai tersebut yang terjejas adalah Segaliud Seberang, Segaliud Bersatu, Segaliud Lungtueh dan Segaliud Jambatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sekong Datuk Hj Samsudin Yahya telah turun padang sejak dua tahun berturut-turut 2014 dan 2015 bersama Pegawai Alam Sekitar Daerah Sandakan, Pegawai Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan bersama para penduduk kampung berkenaan terbabit. Dalam tinjauan  itu, Datuk Hj Samsudin bersama pegawai Alam Sekitar telah menyaksikan sendiri keadaan air sungai tersebut yang seolah-olah air kumbahan (pelacaan)  air longkang bukan saja kotor bahkan berbau busuk.  

Kata Datuk Hj Samsudin Jabatan Alam Sekitar perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemilik-pemilik kilang kelapa sawit kerana telah melakukan pencemaran keatas sungai. Namun pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih gagal membuktikan usaha mereka untuk menguatkuasakan undang-undang dan melindungi sungai dari terus tercemar.

Menurut sumber dari Utusan Sabah 28 Mei 2009 Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah digesa mengambil tindakan terhadap sebuah kilang yang didakwa mencemarkan sungai Segaliud dekat sini dengan sisa buangannya.

Pada tahun 2012 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengambil langkah mempertingkatkan pemantauan rapi dan pencegahan punca pencemaran termasuk 34 kilang di Sungai Kinabatangan.

Timbalan Menterinya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup berkata berdasarkan rekod pemantauan kualiti air sungai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sungai Kinabatangan masih berada pada tahap sederhana tercemar dan bersih.

Katanya, piawaian itu mengikut Indeks Kualiti Air pada paras antara 73 hingga 90 iaitu berdasarkan kelas II hingga III berdasarkan standard Kualiti Ambien Air Sungai Negara.
“Bagi tempoh Januari 2010 hingga Ogos 2012, lima  tindakan mahkamah diambil ke atas kilang kelapa sawit yang tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Selain itu, enam kompaun, 22 notis arahan dan 27 surat arahan dikeluarkan supaya pihak terbabit meningkatkan kecekapan alat kawalan pencemaran di premis masing-masing,” katanya ketika majlis malam mesra media bersama kementerian itu. 

Menurut petikan Bernama 2011 Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun melahirkan kebimbangan dengan keadaan pencemaran di sungai berkenaan. Beliau berkata tiada kemajuan ketara dalam usaha membersihkan sungai berkenaan yang kualiti airnya tidak sihat untuk kegunaan manusia. "Terdapat banyak aduan diterima daripada penduduk terbabit yang terus menerus menghantar sampel air tercemar kepada saya," katanya. "Teknologi ada...persoalannya ialah kesediaan untuk melabur wang untuk ianya dipasang pada kilang mereka," katanya sambil mengakui bagaimanapun aktiviti lain seperti perlombongan pasir dan penempatan di tepi sungai turut menyumbang kepada pencemaran.

Beliau berkata antara sungai yang mencapai tahap pencemaran kritikal ialah dan Sungai Muanad dan Sungai Segaliud.Masidi berkata kajian yang dilakukan kerajaan negeri di bawah Koridor Pembangunan Sabah telah merumuskan 17 strategi dan 183 cadangan pelan tindakan untuk menaik taraf dan membersihkan lima sungai itu menjelang 2020.

Menurut petikan Bernama pada 30 Oktober 2013, Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah (JAS) akan memantau dan membuat pemeriksaan ke atas kilang-kilang kelapa sawit di kawasan Lembangan Sungai Kinabatangan berikutan laporan sungai terpanjang Sabah itu dicemari operasi dan aktiviti kilang-kilang berkenaan.

Pengarahnya, Datin Hanili Ghazali berkata, pemeriksaan ini termaktub dalam undang-undang Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan di bawahnya untuk memastikan pencemaran terhadap alam sekitar dikawal.

Laporan akhbar tempatan memetik pendapat WWF-Malaysia bahawa kini tepat pada masanya untuk meletakkan institusi yang kuat bertindak sebagai badan utama dalam melindungi biodiversiti Kinabatangan berikutan dakwaan kilang minyak sawit dan ladang kelapa sawit di kawasan itu menjadi penyebab utama.

Sungai Kinabatangan dianggap sebagai koridor kehidupan kepada lebih daripada 250 spesies burung, 50 spesies mamalia, 20 spesies reptilia, 1,056 spesies tumbuhan pemuliharaan yang terkenal di dunia - Tanah Lembap Tapak Ramsar Segama.

Bagaimanapun kawasan itu kini dikatakan berdepan penurunan habitat dan indeks kualiti air menurun disebabkan pencemaran.

Antara tindakan yang diambil oleh JAS bagi memastikan operasi kilang kelapa sawit diurus dengan baik dan mengawal pencemaran - sungai, udara, buangan terjadual, pembakaran terbuka - ialah semua pihak harus patuh kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) serta peraturan-peraturannya.

Kilang kelapa sawit juga dikehendaki menjalankan pemantauan prestasi ke atas semua komponen sistem pengplahan efluen bagi memastikan bahawa proses pengolahan efluen berfungsi dan berupaya untuk merawat efluen yang dihasilkan bagi mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan.

Di bawah peraturan yang ditetapkan juga kilang kelapa sawit dikehendaki melantik orang yang berwibawa untuk mengendali dan menyelenggara sistem pengolahan efluen, alat kawalan pencemaran udara dan menguruskan buangan terjadual.

Untuk tujuan ini, JAS melalui Environment Institute of Malaysia (EiMAS) telah mewujudkan skim pensijilan melalui penganjuran kursus kompetensi bagi membantu kilang kelapa sawit memenuhi keperluan melantik orang yang berwibawa itu.

Akhir sekali kilang kelapa sawit dikehendaki memasang Continuous Emission Monitoring System (CEMS) bagi memantau pelepasan asap dan habuk ke udara secara berterusan untuk memastikan pelepasan itu mematuhi standard yang ditetapkan.




Kesimpulan dari semua laporan dan petikan tersebut, sudah sangat lama pencemaran keatas sungai Segaliud khususnya telah dikesan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Namun hingga kini, cerita hanya tinggal cerita, laporan hanya tinggal laporan, undang-undang tidak dapat ditegakkan dan tindakan terhenti pada suatu peringkat. Rakyat terus menderita dengan kesan pencemaran pembuangan sisa kilang ke dalam sungai sementara pihak kilang terus menggaut keuntungan berlipat kali ganda sebab terlepas dari kos pengurusan pembuangan sisa kilang untuk mengelak kesan pencemaran. Hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak bahawa sungai Segeliud masih tercemar tahap kritikal hingga kini.

No comments: