Sungai
Segaliud tercemar sejak dahulu lagi tanpa penyelesaian berkesan sehingga kini.
Walaupun ramai pihak telah turun padang untuk meninjau di lokasi dan memberi
pandangan, cadangan dan tindakan. Tetapi sungai Segaliud tetap tercemar,
seperti ada kuasa kebal pihak tertentu iaitu pihak kilang kelapa sawit yang
dianggap punca pencemaran sungai. Tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tersebut
yang melakukan pembuangan sisa-sisa terus ke dalam sungai Segaliud telah
mencemarkan sungai dan ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada orang
ramai.
Sungai Segaliud adalah tadahan sumber pembekal air utama ke
seluruh daerah Sandakan dan akibat sisa-sisa buangan daripada kilang yang
berhampiran air sungai tersebut telah dicemari oleh pelbagai kekotoran. langkah segera perlu diambil kerana
lebih 2,000 penduduk tinggal serta bergantung hidup dengan sungai tersebut
sebagai sumber air dan pendapatan. Tambahan lagi empat kampung terletak di
seberang sungai tersebut yang terjejas adalah Segaliud Seberang, Segaliud
Bersatu, Segaliud Lungtueh dan Segaliud Jambatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
kawasan Sekong Datuk Hj Samsudin Yahya telah turun padang sejak dua tahun
berturut-turut 2014 dan 2015 bersama Pegawai Alam Sekitar Daerah Sandakan,
Pegawai Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan bersama para penduduk kampung
berkenaan terbabit. Dalam tinjauan itu, Datuk Hj Samsudin bersama pegawai
Alam Sekitar telah menyaksikan sendiri keadaan air sungai tersebut yang seolah-olah
air kumbahan (pelacaan) air longkang bukan saja kotor bahkan berbau
busuk.
Kata Datuk Hj Samsudin Jabatan
Alam Sekitar perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemilik-pemilik kilang kelapa
sawit kerana telah melakukan pencemaran keatas sungai. Namun pihak Jabatan Alam
Sekitar (JAS) masih gagal membuktikan usaha mereka untuk menguatkuasakan
undang-undang dan melindungi sungai dari terus tercemar.
Menurut sumber dari Utusan Sabah 28 Mei 2009 Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah digesa mengambil tindakan terhadap sebuah kilang yang didakwa mencemarkan sungai Segaliud dekat sini dengan sisa buangannya.
Pada tahun 2012 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengambil
langkah mempertingkatkan pemantauan rapi dan pencegahan punca pencemaran
termasuk 34 kilang di Sungai Kinabatangan.
Timbalan Menterinya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph
Kurup berkata berdasarkan rekod pemantauan kualiti air sungai oleh Jabatan Alam
Sekitar (JAS), Sungai Kinabatangan masih berada pada tahap sederhana tercemar
dan bersih.
Katanya, piawaian itu mengikut Indeks Kualiti Air pada paras
antara 73 hingga 90 iaitu berdasarkan kelas II hingga III berdasarkan standard
Kualiti Ambien Air Sungai Negara.
“Bagi tempoh Januari 2010 hingga Ogos 2012, lima
tindakan mahkamah diambil ke atas kilang kelapa sawit yang tidak mematuhi
peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Selain itu, enam kompaun, 22 notis arahan dan 27 surat
arahan dikeluarkan supaya pihak terbabit meningkatkan kecekapan alat kawalan
pencemaran di premis masing-masing,” katanya ketika majlis malam mesra media
bersama kementerian itu.
Menurut petikan Bernama 2011 Menteri Pelancongan, Kebudayaan
dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun melahirkan kebimbangan dengan
keadaan pencemaran di sungai berkenaan. Beliau berkata tiada kemajuan ketara
dalam usaha membersihkan sungai berkenaan yang kualiti airnya tidak sihat untuk
kegunaan manusia. "Terdapat banyak aduan diterima daripada penduduk
terbabit yang terus menerus menghantar sampel air tercemar kepada saya,"
katanya. "Teknologi ada...persoalannya ialah kesediaan untuk melabur wang
untuk ianya dipasang pada kilang mereka," katanya sambil mengakui bagaimanapun
aktiviti lain seperti perlombongan pasir dan penempatan di tepi sungai turut
menyumbang kepada pencemaran.
Beliau berkata antara sungai yang mencapai tahap pencemaran
kritikal ialah dan Sungai Muanad dan Sungai Segaliud.Masidi berkata kajian yang
dilakukan kerajaan negeri di bawah Koridor Pembangunan Sabah telah merumuskan
17 strategi dan 183 cadangan pelan tindakan untuk menaik taraf dan membersihkan
lima sungai itu menjelang 2020.
Menurut petikan Bernama pada 30 Oktober 2013, Jabatan Alam
Sekitar Negeri Sabah (JAS) akan memantau dan membuat pemeriksaan ke atas
kilang-kilang kelapa sawit di kawasan Lembangan Sungai Kinabatangan berikutan
laporan sungai terpanjang Sabah itu dicemari operasi dan aktiviti kilang-kilang
berkenaan.
Pengarahnya, Datin Hanili Ghazali berkata, pemeriksaan ini termaktub dalam
undang-undang Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan di bawahnya
untuk memastikan pencemaran terhadap alam sekitar dikawal.
Laporan akhbar tempatan memetik pendapat WWF-Malaysia bahawa
kini tepat pada masanya untuk meletakkan institusi yang kuat bertindak sebagai
badan utama dalam melindungi biodiversiti Kinabatangan berikutan dakwaan kilang
minyak sawit dan ladang kelapa sawit di kawasan itu menjadi penyebab utama.
Sungai Kinabatangan dianggap sebagai koridor kehidupan kepada lebih daripada
250 spesies burung, 50 spesies mamalia, 20 spesies reptilia, 1,056 spesies
tumbuhan pemuliharaan yang terkenal di dunia - Tanah Lembap Tapak Ramsar
Segama.
Bagaimanapun kawasan itu kini dikatakan berdepan penurunan habitat dan indeks
kualiti air menurun disebabkan pencemaran.
Antara tindakan yang diambil oleh JAS bagi memastikan
operasi kilang kelapa sawit diurus dengan baik dan mengawal pencemaran -
sungai, udara, buangan terjadual, pembakaran terbuka - ialah semua pihak harus
patuh kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) serta
peraturan-peraturannya.
Kilang kelapa sawit juga dikehendaki menjalankan pemantauan
prestasi ke atas semua komponen sistem pengplahan efluen bagi memastikan bahawa
proses pengolahan efluen berfungsi dan berupaya untuk merawat efluen yang
dihasilkan bagi mematuhi standard pelepasan yang ditetapkan.
Di bawah peraturan yang ditetapkan juga kilang kelapa sawit dikehendaki
melantik orang yang berwibawa untuk mengendali dan menyelenggara sistem
pengolahan efluen, alat kawalan pencemaran udara dan menguruskan buangan
terjadual.
Untuk tujuan ini, JAS melalui Environment Institute of Malaysia (EiMAS) telah
mewujudkan skim pensijilan melalui penganjuran kursus kompetensi bagi membantu
kilang kelapa sawit memenuhi keperluan melantik orang yang berwibawa itu.
Akhir sekali kilang kelapa sawit dikehendaki memasang Continuous Emission
Monitoring System (CEMS) bagi memantau pelepasan asap dan habuk ke udara secara
berterusan untuk memastikan pelepasan itu mematuhi standard yang ditetapkan.
Kesimpulan dari semua laporan dan petikan tersebut, sudah
sangat lama pencemaran keatas sungai Segaliud khususnya telah dikesan oleh Jabatan
Alam Sekitar (JAS). Namun hingga kini, cerita hanya tinggal cerita, laporan
hanya tinggal laporan, undang-undang tidak dapat ditegakkan dan tindakan
terhenti pada suatu peringkat. Rakyat terus menderita dengan kesan pencemaran
pembuangan sisa kilang ke dalam sungai sementara pihak kilang terus menggaut
keuntungan berlipat kali ganda sebab terlepas dari kos pengurusan pembuangan
sisa kilang untuk mengelak kesan pencemaran. Hakikat yang perlu diterima oleh
semua pihak bahawa sungai Segeliud masih tercemar tahap kritikal hingga kini.