Sunday, February 28, 2016

Kita akan rebah jika kita dikelilingi SI PENGAMPU.....

Pemimpin apabila membiarkan rakyat yang baik dalam kesusahan, sementara golongan yang tamak lagi mengampu ‘penuh kantong’ dan kekenyangan lagi mewah, maka negara akan rosak. Penentangan terhadap pemimpin akan berlaku dari rakyat bawahan yang tertindas dan golongan tamak yang mula ‘besar kepala’.
Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu’awiyah r.a. kepada ‘Amr bin al-As yang sedang berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. Kata Mu’awiyah:  
“Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang”
(Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).

Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang pemimpin akan jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk berpaut. Maka, pemimpin yang diampu akan menjadi raja telanjang berseorangan, sementara yang mengampu akan menyembunyikan diri di belakang atau melarikan diri dan meletak jawatan. Maka berhati-hati wahai pemimpin dengan para pengampu anda. Seakan perangai syaitan seperti yang disebut dalam al-Quran:
(maksudnya) (Sikap kaum munafik) itu samalah seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “kufurlah kamu!” setelah orang itu kufur, berkatalah syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!
(Surah al-Hasyr: 16).

Dalam ayat lain Allah berfirman:
(maksudnya) Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia Yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya”
(Surah al-Anfal: 48).

No comments: