Friday, August 15, 2008

Buku Suntingan Profesor UKM Diharam

Buku suntingan profesor UKM diharam
Aug 14, 08 1:55pm


Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buah buku, termasuk karya seorang ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diterbitkan oleh Sisters-in-Islam (SIS).Buku-buku itu dilarang kerana "mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya", lapor Bernama hari ini.Buku terbitan SIS berjudul Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism suntingan Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Bangi.Buku setebal 215 halaman itu memuatkan 10 bab hasil karangan beberapa pemikir wanita Asia Tenggara dan Timur Tengah. Norani, bertindak sebagai penyunting karya tersebut, mengarang makalah pertama yang dijadikan judul buku berkenaan. Beliau bersama bekas pemimpin utama SIS Zainah Anwar menghasilkan bab terakhir 'Muslim women, the challenge of Islamic extremism and the way forward to building bridges between Southeast Asia dan the Middle East.'Makalah-makalah ini hasil perbincangan penyumbang- penyumbangnya di Bellagio, Itali pada 2003 dengan biaya Yayasan Rockefeller. Pertemuan pertama bermula di Kuala Lumpur pada Januari tahun itu.Selain dua penulis ini dan Toni Kasim dari Malaysia, penyumbang lain termasuklah Fatma Khafagy (Mesir), Kamala Chandrakirana (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Iran), Amina Lemrini El Ouahabi (Maghribi), Hoda Rouhana (Palestin), Norma A Maruhom (Filipina) dan Suzaina Kadir (Singapura).Ketua penolong setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Abdul Razak Abdul Latif berkata, sebuah lagi buku yang diharamkan bertajuk Pelik Tapi Benar Dalam Solat karya Abdul Rahman Mohamed."Kedua-dua buku ini dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan mana-mana individu yang didapati menghasilkan semula, mencetak, mengeluar atau memiliki bahan larangan tersebut boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM 20,000 atau kedua-duanya," kata KDN dalam kenyataannya hari ini.Menurut agensi berita itu lagi, beliau berkata sekiranya penerbitan berkenaan dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat.

No comments: