Wednesday, May 18, 2016

Menara Jam Atkinson Kota Kinabalu



Menara Jam Atkinson ialah antara bangunan tertua yang masih gagah berdiri di sebalik kesibukan bandar Kota Kinabalu sehingga kini. Nama asal bangunan ini ialah Atkinson Clock Tower. Terletak berhampiran dengan Padang Merdeka Kota Kinabalu.
Dibina pada 1905, tujuan pembinaannya ialah untuk mengenang jasa seorang pentadbir British yang berkhidmat pada masa itu iaitu Francis George Atkinson, yang meninggal dunia pada usia 28 tahun akibat malaria atau 'demam borneo'. Menara ini dibina hasil sumbangan keluarga Atkinson dan para pelayar pada masa itu.
Jalan Istana juga dikenali dengan nama 'Atkinson Drive' sebelum ditukar dengan nama Jalan Istana. Semasa Perang Dunia Kedua,  kedua-dua pihak mengebom dengan teruk Jesselton pada masa itu. Hampir kesemuanya dimusnahkan tetapi hanya menara ini dan dua bangunan yang lain terselamat dan kekal teguh sehingga ke hari ini.
Pembinaan menara ini dilakukan oleh tukang kapal. Dibina dengan kayu Merbau tanpa menggunakan sebarang paku. Tinggi menara ini ialah 50 kaki dan tapak menara 6'3" x 6'3". Menara ini menjadi panduan kepada kapal yang ingin berlabuh di Jesselton pada masa itu sehingga 1950an.    
Menara ini mengalami banyak perubahan sejak dibina. Semasa perang, tembakan dari machine gun telah menyebabkan mekanisme jam menara ini rosak. Namun telah dibaiki oleh Yick Ming Watch Dealers dan sehingga kini, mereka masih meneruskan kerja-kerja pembaikan jam ini dari generasi ke generasi yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa kewujudan jam ini berkait rapat dengan penduduk Kota Kinabalu sehingga ke hari ini.
Menara ini diubahsuai lagi pada tahun 1959. Bahagian-bahagian kayu yang rosak akibat perubahan cuaca ditukar. Pada 1961, jarum jam ditukar dengan Perspex, yang berwarna hitam berlatar belakangkan warna putih.